‘Kegagalan’ LRT punca ramai lewat hari ini
KUALA LUMPUR: ‘Kegagalan’ tren Transit Aliran Ringan (LRT) dari stesen Taman Jaya menuju ke arah Putra Heights, mengakibatkan ramai pengguna laluan Kelana Jaya mengalami kelewatan dalam perjalanan mereka pagi ini.
Rapid KL melalui ciapan di Twitter @AskRapidKL, memaklumkan perkhidmatan laluan Kelana Jaya akibat ‘kegagalan’ tren di stesen LRT Taman Jaya menuju ke arah Putra Heights dan pihaknya dalam usaha mengalihkan tren yang tidak dapat beroperasi itu.
“Tren akan bergerak perlahan dan berhenti lebih lama di platform. Penumpang dinasihatkan mencari alternatif pengangkutan.
“Perkembangan laluan Kelana Jaya; pengguna stesen LRT Taman Jaya perlu mengambil tren di Platform 1 arah Putra Heights.
“Pasukan teknikal masih berada di kawasan tersebut untuk kerja pembaikan. Perkembangan terkini akan dimaklumkan,” katanya.
Insiden itu jelas mengecewakan pengguna yang menyebabkan rata-rata tiba lewat di pejabat memandangkan ia berlaku pada waktu pagi.
Petang semalam, dalam satu insiden serupa, sebuah lagi tren yang “gagal” di laluan Ampang/Sri Petaling dikeluarkan daripada perkhidmatan.
Bagaimanapun, perkhidmatan dilaporkan kembali normal pada hari sama.
BHOnline