AirAsia kaji laluan baharu Sibu-Singapura

AirAsia menjalankan kajian daya maju bagi laluan baharu Sibu-Singapura berikutan permintaan daripada penduduk di wilayah tengah Sarawak itu, kata Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Khim Shin.

Beliau berkata, dalam mesyuarat dengan AirAsia baru-baru ini, Sarawak juga meminta syarikat penerbangan berkenaan menambah jumlah penerbangan ke negeri itu.

“AirAsia sedang mengkaji hal itu dan akan menjalankan kajian pemasaran bagi memastikan maklum balasnya,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Trafik Bahagian Sibu di sini, kelmarin.

Lee berkata, selain Air Asia, mesyuarat turut diadakan dengan Malindo Air, Firefly dan MASwings dalam usaha kerajaan negeri menambah jumlah penerbangan ke Sarawak susulan pembukaan semula sempadan.

Beliau berkata, kerajaan negeri mahu menghidupkan semula sektor Kuching-Pontianak yang digantung selepas penularan pandemik Covid-19.

Royal Brunei Airlines sudah menyambung semula penerbangan dua kali seminggu ke Kuching awal bulan ini, sementara Scoot Tigerair menyambung semula sektor Singapura-Kuching dengan lima penerbangan seminggu bermula 3 April lepas.

Dalam perkembangan lain, Lee berkata, kementeriannya dan Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) akan memasang lampu isyarat pintar di kawasan yang mengalami kesesakan teruk di Sibu tahun ini.

“Pelaksanaan dibuat secara berfasa dan diharap lampu isyarat pintar ini akan mengurangkan kesesakan lalu lintas hingga kira-kira 30 peratus,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker