Janin ditemui dalam tandas stesen minyak

KUALA LUMPUR: Janin bayi yang cukup sifat ditemukan orang awam dalam tandas di sebuah stesen minyak di Danau Kota, Setapak, di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 4.57 petang dan sepasukan pegawai serta anggota menjalankan siasatan di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati janin lelaki yang dianggarkan berusia enam hingga lapan bulan itu dibuang ke dalam mangkuk tandas di stesen minyak terbabit.

“Janin itu dibawa ke unit forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan siasatan masih dijalankan berhubung kejadian,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Ashari berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes tersebut boleh menghubungi Ibu Pejabat Daerah Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Kuala Lumpur 03-21159999 atau balai polis berhampiran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat dengan sulit yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker