‘Kami terpaksa pijak barang rumah untuk selamatkan diri’

BENTONG – “Sekitar jam 3 pagi saya jenguk ke luar rumah untuk tengok keadaan hujan sebelum melihat kepala air turun dari sebelah atas dan menghanyutkan kereta Saga FLX yang diparkir di laman rumah.”
Demikian kata mangsa banjir, Kamarul Azzra J. C Rais, 34, ketika menceritakan detik cemas kejadian banjir kilat yang berlaku di Kampung Janda Baik di sini awal pagi tadi.
Kamarul Azzra berkata, melihat keadaan tersebut dia bertindak pantas memanggil isteri dan tiga anaknya yang berumur satu hingga tiga tahun untuk menyelamatkan diri.
“Saya dan isteri terpaksa memijak barang rumah yang terapung sambil mengendong anak tiga orang dan mencampakkan mereka ke luar rumah melalui tingkap ekoran air naik hingga paras dada.
“Segala peralatan rumah seperti televisyen, peti ais dan mesin basuh tidak dapat diselamatkan sebab air naik begitu cepat. Saya tidak sempat berbuat apa-apa dan hanya memikirkan nyawa ahli keluarga sahaja,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Kamarul Azzra berkata, kejadian itu menyebabkan beberapa bahagian rumahnya mengalami kerosakan selain meninggalkan lumpur tebal hingga paras lutut.
Jelasnya, dia terpaksa menanggung kerugian mencecah puluhan ribu ringgit termasuk kehilangan satu-satunya kereta miliknya.
Seorang lagi mangsa, Mazdi Mat Zin, 53, berkata, kejadian banjir kilat terbabit disifatkan yang terburuk pernah dialaminya selama dia menetap di kawasan berkenaan.
Menurutnya, sebelum ini air naik sekitar laman rumah sahaja namun berbeza kejadian kali ini apabila air banjir memasuki kediaman miliknya
“Ketika kejadian tersebut saya sedang tidur sebelum dikejutkan dengan panggilan dari isteri yang memaklumkan air banjir telah masuk ke dalam bilik air dan dapur rumah.
“Saya bersama tiga anak kemudiannya bergegas menyelamatkan barangan penting dari dihanyutkan air,” katanya.
Air banjir memasuki kediaman milik penduduk di Kampung Janda Baik, Bentong di sini pagi tadi.
Kejadian banjir kilat di Kampung Janda Baik menyebabkan kediaman milik penduduk dimasuki air.
Kereta Saga FLX milik Kamarul Azzra rosak teruk akibat dihanyutkan kepala air dalam kejadian banjir kilat di Kampung Janda Baik, Bentong di sini awal pagi tadi.
astroawani

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button