Langgar SOP sembelihan

Kuala Lumpur: Syarikat diberikan permit import (AP) boleh dikenakan tindakan jika dikesan menggunakan khidmat rumah sembelihan yang tidak mematuhi prosedur penyembelihan lembu di Australia.

Jurucakap Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) berkata, jabatan itu bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah agensi yang mengawal selia proses penyembelihan haiwan di luar negara supaya patuh kepada prosedur dan syariah.

Katanya, untuk tujuan itu, JPV dan Jakim akan menghantar pegawai ke Australia untuk menjalankan pemeriksaan di rumah penyembelihan yang sudah didaftarkan setiap dua tahun.

“Di JPV kami mahu pastikan haiwan yang disembelih seperti lembu bebas penyakit dan daging yang diproses selamat sebelum dibawa masuk ke pasaran Malaysia.



“Manakala Jakim akan memantau dari segi prosedur penyembelihan supaya patuh kepada syariah dan syarat halal sembelihan,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, jika berlaku sebarang pelanggaran prosedur, tindakan membatalkan permit boleh dikenakan kepada syarikat pengimport daging itu.

Sementara itu, Jakim dalam kenyataan memaklumkan jabatan itu bersedia bertemu dengan pihak yang mempunyai bukti kukuh mengenai isu ini demi kepentingan semua.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, siasatan berhubung dakwaan ini sedang dijalankan oleh Pegawai Atase Halal Jakim di Australia dan pihak berkuasa Jabatan Pertanian, Air dan Alam Sekitar Australia.



“Perbincangan antara Jakim bersama Kaunselor Pertanian Kedutaan Australia di Malaysia juga diadakan pada 28 April lalu bagi memastikan hasil siasatan dapat diserahkan kepada kerajaan secepat mungkin.

“Jakim sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak jika terdapat kesalahan dan ketidakpatuhan membabitkan proses pensijilan dan pengiktirafan halal.

“Kerjasama sepenuhnya juga akan diberikan kepada pihak berkuasa bagi menyiasat sebarang dakwaan salah laku dalam perkara ini termasuk membabitkan pegawai Jakim sekiranya ada,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker