Piala Thomas: Malaysia mara ke suku akhir

KUALA LUMPUR: Malaysia mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Thomas selepas melakar kemenangan kedua berturut-turut dengan menewaskan Amerika Syarikat (AS) 5-0 dalam aksi Kumpulan D, sebentar tadi.

Semalam, skuad negara membuka tirai kempen di Bangkok, Thailand dengan membenam cabaran England 5-0.

Jepun yang turut merekodkan kemenangan ke atas AS dan England mengiringi skuad negara ke kelompok lapan terbaik dengan pertemuan antara kedua-dua pasukan dalam aksi terakhir, esok bakal menjadi penentuan juara dan naib juara kumpulan.



Aksi menentang AS, hari ini menyaksikan Malaysia menyenaraikan barisan kedua dengan jaguh perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan beregu utama Aaron Chia-Soh Wooi Yik direhatkan.

Tugas Zii Jia selaku perseorangan pertama digalas pemain berpengalaman, Liew Daren yang tidak berdepan masalah untuk menyumbang mata pertama menerusi kemenangan ke atas Enrico Asuncion 21-13, 21-16 sebelum Ng Tze Yong melebarkan kedudukan buat skuad negara dengan menewaskan Don Henly Averia 21-11, 21-9.

Pemain muda, Aidil Sholeh Ali Sadikin yang diberi kepercayaan menggalas tugas selaku perseorangan ketiga tidak mengecewakan apabila menang dalam penampilan pertamanya di kejohanan berpasukan itu selepas menewaskan Wiiliam Hu 21-16, 21-17.

“Perlawanan hari ini tidak mudah kerana lawan beri tentangan. Di set pertama saya masih menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang ditambah pula angin kuat.



“Secara keseluruhannya masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki tetapi saya gembira dapat menyumbang satu mata kepada pasukan,” kata Aidil yang berada di kedudukan ranking ke-100 dunia.

Dua lagi mata negara disumbangkan pemain beregu, Goh Sze Fei yang bergandingan bersama Chia Weijie apabila menewaskan Andrian King Sun Mar-Henry Tang 21-12, 21-8 sebelum Teo Ee Yi-Ong Yew Sin melengkapkan kemenangan skuad negara dengan menundukkan Enrico -William 21-16, 21-8.

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button