‘Produk sampah’ makin berleluasa dalam talian

Kuala Lumpur: Lambakan ‘produk sampah’ termasuk rawatan komplementari yang ditawar kepada masyarakat terutama secara jualan dalam talian, boleh mendatangkan bahaya terhadap pengguna dalam jangka panjang.

Produk yang didakwa boleh merawat pelbagai penyakit dan ditampilkan dengan bukti keberkesanan, didapati semakin berleluasa berlegar dalam talian walaupun tidak mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang, berkata lebih membimbangkan, ramai dalam kalangan masyarakat terpengaruh dengan produk berkenaan termasuk ubat dan ubat komplementari, termasuk penghidap penyakit kronik.

Justeru, beliau menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas dalam isu berkenaan.

“Pengguna perlu menjauhi membeli produk sampah yang berleluasa di media sosial.

“Kerajaan perlu bertegas terhadap mereka yang menjual produk sampah ini, yang sangat memudaratkan pengguna dan pesakit,” katanya kepada BH, semalam.

Beliau mengulas laporan muka depan BH kelmarin, mengenai kira-kira 72 peratus pesakit buah pinggang di negara ini yang menjalani rawatan dialisis, dikesan lebih cenderung mengambil ubat tradisional dan ubat tambahan tanpa merujuk doktor yang merawat mereka.

Penemuan itu berdasarkan kajian Pakar Nefrologi dan Perubatan Dalaman, Hospital Putrajaya, Dr Rafidah Abdullah bersama dua lagi doktor pakar ke atas 329 pesakit buah pinggang di Malaysia diterbitkan dalam jurnal antarabangsa, BMC Complementary Medicine and Therapies, tahun lalu.

Sebahagian daripada pesakit juga percaya kononnya ubat hospital boleh merosakkan organ dalaman, menyebabkan mereka bergantung kepada ubat tradisional dan suplemen sebagai penawar serta jalan keluar mengubati penyakit.

Amrahi berkata, semua ubat dan suplemen di negara ini perlu didaftarkan dengan KKM, ubat tradisional dan komplementari, justeru masyarakat perlu bertindak bijak dengan hanya mendapatkan ubat yang berdaftar.

Pada masa sama, beliau meminta ahli farmasi komuniti supaya mendidik masyarakat mengenai penyakit tidak berjangkit (NCD) dan penggunaan ubat-ubatan jangka panjang yang memberi kesan langsung kepada fungsi buah pinggang.

Sistem perkumuhan dalam tubuh badan membabitkan fungsi buah pinggang dan hati, justeru katanya, apa juga produk atau ubat yang masuk ke dalam tubuh akan berkaitan dengan organ berkenaan.

“Masyarakat perlu mempunyai kecelikan mengenai NCD seperti diabetes dan hipertensi, yang mempunyai impak tinggi kepada fungsi buah pinggang. Mereka perlu berhati-hati dan mendapatkan khidmat nasihat daripada doktor serta ahli farmasi.

“Masyarakat terutama yang mempunyai penyakit perlu mendapatkan produk atau ubat daripada ahli farmasi komuniti, yang akan memberikan khidmat nasihat secara profesional.

“Ahli farmasi juga mesti merujuk pengguna atau masyarakat yang mempunyai NCD kepada doktor,” katanya.

Amrahi berkata, isu sebenar yang menyebabkan fungsi buah pinggang terganggu adalah penyakit NCD yang tidak dikawal.

“Ini menyebabkan pesakit akhirnya terpaksa mendapatkan perkhidmatan dialisis untuk mencuci darah tiga kali seminggu. Inilah kesan langsung kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, laman web Program Perkhidmatan Farmasi, KKM, memaklumkan pengiklanan ubat dan produk kesihatan serta kecantikan dilarang membuat tuntutan perubatan terhadap 20 jenis penyakit bagi tujuan pencegahan, rawatan atau diagnosis.

Mengikut Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956, penyakit berkenaan adalah penyakit/kerosakan buah pinggang dan jantung, diabetes, sawan, lumpuh, batuk kering, kusta, kanser serta darah tinggi.

Selain itu, lelah, pekak, ketagihan dadah, sakit mental, kemandulan, frigiditi, lemah fungsi seks, penyakit venerus dan kelemahan urat saraf berkaitan perhubungan seks.

Katanya, pengiklanan lain dilarang adalah peningkatan fungsi buah pinggang atau jantung, peningkatan prestasi seksual dan pengguguran kandungan.

“Iklan ubat yang membabitkan penyakit selain daripada yang berkenaan, dibenarkan untuk diiklankan tetapi perlulah mendapat kelulusan daripada Lembaga Iklan Ubat (LIU) terlebih dahulu,” katanya.

BHOnline

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker