Anggota polis tidak mengaku salah terima rasuah

Kuantan: Seorang anggota polis dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2,000 tahun lalu.

Bagaimanapun, Abdul Wahab Musa, 57, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Bagi pertuduhan pertama, Abdul Wahab yang bertugas di Bahagian Operasi dan Pencegahan Jenayah Balai Polis Kuala Bera, Bera didakwa menerima wang tunai RM1,000 daripada seorang individu di balai itu pada 19 Mei tahun lalu.

Dalam pertuduhan kedua, Abdul Wahab didakwa menerima wang tunai RM500 daripada individu sama pada 2 Jun lalu diikuti pertuduhan ketiga menerima RM500 pada 5 September lalu.



Kesalahan kedua dan ketiga dilakukan di sebuah rumah rakit di Kampung Bukit Serdang di Kuala Bera.

Kesalahan kedua dan ketiga dilakukan di sebuah rumah rakit di Kampung Bukit Serdang di Kuala Bera

Dalam ketiga-tiga pertuduhan, bapa kepada enam anak itu didakwa menerima wang tunai berkenaan sebagai dorongan untuk tidak menahan anak lelaki individu itu yang memiliki kenderaan Mitsubishi Lancer klon yang merupakan satu kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bagi kesemua pertuduhan itu, Wahab didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.



Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan didenda lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Siti Sarah Zainal Abiddin mencadangkan jaminan RM10,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin.

Dalam rayuan, Abdul Wahab yang tidak diwakili peguam, merayu ikat jamin lebih rendah.

Ahmad Zamzani kemudiannya membenarkan jaminan RM7,000 bagi tiga pertuduhan itu dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan kepada tertuduh melaporkan diri di pegawai SPRM berhampiran setiap bulan bermula Mei sehingga kes selesai.

Beliau menetapkan 14 Jun ini untuk sebutan semula kes.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker