Gelandangan bukan ‘parasit’, mereka memerlukan bantuan

Kuala Lumpur: Segelintir masyarakat menganggap gelandangan yang ‘tinggal’ di sekitar Pasar Seni, di sini, sebagai kumpulan yang merosakkan kemudahan awam, mencemarkan pemandangan indah ibu kota selain pengotor.

Tohmahan ataupun persepsi negatif itu bagaimanapun disangkal peniaga di kawasan tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara dengan menyifatkan kumpulan gelandangan bukanlah ‘parasit’ yang melakukan kerosakan sebaliknya terdiri daripada mereka yang memerlukan bantuan.

Baim Zakaria, 56, seorang pelukis yang menjadikan Pasar Seni sebagai tempat mencari rezeki sejak 35 tahun lalu berkata, gelandangan yang ‘tinggal’ di kawasan berkenaan hanya mereka yang mahu meneruskan kehidupan di tengah ibu kota sama seperti orang lain.



Tegasnya, biarpun segelintir masyarakat mempunyai persepsi negatif kepada golongan ini, gelandangan bukannya individu atau kumpulan yang merosakkan kemudahan awam.

“Mereka (gelandangan) ini amat berbeza daripada apa yang digambarkan segelintir masyarakat kita. Sebaliknya mereka tidak pernah membuat onar (kacau) di kawasan ini (Pasar Seni).

“Sepanjang saya melukis di sini, tidak pernah ada satu kejadian di mana kumpulan ini melakukan sebarang kekacauan kepada peniaga, pelancong mahupun orang awam,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, masyarakat atau pengunjung yang mahu berkunjung ke Pasar Seni tidak perlu risau kerana golongan ini adalah mereka yang baik dan sangat peramah.



“Cumanya, mereka ini menghadapi kesulitan dalam hidup (miskin) dan tiada tempat tinggal. Jadi, mereka memerlukan sokongan dan dokongan daripada semua pihak untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Seorang lagi peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Abu, 60, berkata kumpulan gelandangan tidak pernah mengganggu peniaga di kawasan berkenaan.

Dia yang sudah berniaga di kawasan itu sejak tahun 1988 berkata, sebaliknya gelandangan hanya akan datang meminta air dan sedikit makanan untuk mengisi perut mereka.

“Kadang kala, saya turut sedekah hasil jualan seperti buah-buahan kerana saya faham situasi mereka,” katanya.



Ditanya mengenai kerosakan terhadap kemudahan awam di kawasan itu, Pak Abu berkata, ia bukanlah dilakukan kumpulan gelandangan sebaliknya onar segelintir penagih dadah.

Ketika tinjauan wartawan Harian Metro di sini, hari ini, mendapati kawasan itu juga menjadi tumpuan kepada golongan berkemampuan untuk menghulurkan bantuan berupa makanan dan minuman kepada gelandangan.

Pemilik Ciyuan Catering, Casley Yang, 37, berkata, dia sudah memberikan bantuan makanan di kawasan itu sejak lima tahun lalu.

“Segelintir masyarakat mempunyai tanggapan buruk kerana mereka tidak pernah mendekati golongan ini. Pada saya, mereka amat memerlukan bantuan daripada segi keperluan harian seperti makanan, minuman dan pakaian.



“Jadi, masyarakat usah gusar kerana kebanyakan mereka adalah insan baik dan mudah didekati,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button