Kajian semula elaun pelajar MARA akan di segera

BANGI: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memberi jaminan kajian semula kadar elaun membabitkan 3,896 pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) di luar negara yang terbeban dengan kos sara hidup tinggi akan disegerakan.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata kajian terbabit sudah dimulakan beberapa minggu lalu dan laporannya akan diserahkan kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dalam masa terdekat.

“Kita sudah mulakan kajian beberapa minggu lalu selepas pelajar terbabit memaklumkan permasalahan mereka.



“Setakat ini, kami masih menunggu maklumat lengkap pecahan perbelanjaan mereka, jumlah tajaan, yuran pengajian, kos sewa rumah, perbelanjaan bulanan dan kalau kos naik berapa kos untuk makan dan minum.

“Tajaan dan kadar elaun yang diterima pelajar juga berbeza berdasarkan lokasi dan jurusan pengajian mereka, jadi itu juga dalam pertimbangan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perjumpaaan Bersama Warga KPLB dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Institut Kemajuan Desa (INFRA), di sini hari ini.

Berdasarkan statistik MARA, paling ramai mendapat tajaan membabitkan1,422 pelajar di United Kingdom diikuti Jordan (297), Jerman (291), India (234) dan Australia (234).



Hujung bulan lalu, media melaporkan Badan Perhubungan Negara United Kingdom & Eire (BPN UKE) menggesa penstrukturan semula elaun sara hidup pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan MARA dilaksanakan segera.

BPN UKE dalam kenyataan memaklumkan, kos sara hidup di UK dan Ireland sedang melambung tinggi dan kesannya dirasai seluruh masyarakat terutama pelajar tajaan JPA-MARA yang elaun mereka tidak berubah sejak 2012.

Media juga melaporkan, MARA meneruskan program penghantaran pelajar tajaannya ke luar negara membabitkan 1,500 orang dalam pelbagai bidang dan peringkat pengajian pada tahun ini.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button