Lelaki maut dalam nahas babit 13 kenderaan

Batu Kawan: Seorang lelaki maut dalam nahas membabitkan 13 kenderaan di Jalan Batu Kawan, di sini, semalam.

Dalam kejadian 6.25 petang itu, mangsa, Tang Hai Kok, 46, maut di lokasi kejadian selepas motosikal yang ditungganginya dilanggar treler yang dikatakan berdepan masalah kegagalan brek dari arah belakang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, siasatan mendapati terdapat 12 kenderaan dalam kedudukan sebaris di jalan berkenaan membabitkan dua penunggang motosikal dan 10 pemandu kereta termasuk van kilang.



“Pada masa sama datang sebuah treler dipercayai mengalami masalah brek yang dipandu lelaki warga tempatan berusia 28 tahun melanggar kesemua kenderaan itu dari arah belakang sehingga menyebabkan seorang penunggang motosikal maut termasuk semua kenderaan terbabit mengalami pelbagai kerosakan.

“Dalam pada itu, seorang lagi penunggang motosikal wanita mengalami luka di bahu serta kaki kiri dan seorang pemandu kereta mengalami kecederaan di pinggang, manakala mangsa selebihnya berusia lingkungan 25 hingga 64 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, susulan kemalangan itu polis menahan pemandu treler berkenaan untuk siasatan lanjut.

“Ujian saringan air kencing ke atas pemandu treler itu didapati dia negatif daripada sebarang pengaruh dadah.



“Saksi bebas juga sedang dikesan memandangkan tiada liputan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kemalangan,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa yang maut dihantar ke Hospital Sungai Bakap (HSB) untuk proses bedah siasat manakala mangsa cedera juga dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button