Maloney puas hati aksi Harimau Muda

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Brad Maloney mengakui berpuas hati dengan kemenangan 3-1 yang dilakar anak buahnya ke atas Loas di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, semalam.

Ia adalah kemenangan kedua berturut-turut yang diraih skuad ‘Harimau Muda’ dalam Kumpulan B aksi Sukan SEA Hanoi selepas menewaskan Thailand 2-1 pada aksi pertama, Sabtu lalu.

Kemenangan itu menyaksikan skuad negara berada di kedudukan teratas kumpulan dengan mengumpul enam mata dan mencerahkan peluang untuk melangkah ke separuh akhir.



Maloney menjelaskan, kemenangan ke atas Thailand dan Laos menjadi motivasi terbaik buat pasukannya untuk mengharungi baki dua lagi aksi kumpulan berdepan Singapura, Sabtu ini dan Kemboja (16 Mei).

“Sudah tentu kami berpuas hati dengan tiga mata ini. Laos memberi tentangan yang sukar dan mereka memiliki pemain berkualiti tinggi.

“Ia bagus untuk kami bergerak selangkah lagi ke hadapan dalam kejohanan ini dan kami berjaya mendapat keputusan yang diinginkan.

“Kami perlu pergi dari satu perlawanan ke satu perlawanan dan kami fokus untuk perlawanan seterusnya. Kami akan melakukan yang terbaik untuk mendapatkan keputusan positif, dan cuba mengekalkan momentum,” katanya.



Dua gol dari Luqman Hakim Shamsudin dan satu lagi disumbangkan Syahir Bashah cukup untuk skuad negara meneruskan momentum kemenangan selain membalas dendam terhadap Laos yang dua kali mengalahkan skuad negara di Kejuaraan AFF, Februari lalu.

Sementara itu, ketua jurulatih Laos, Michael Weiss dilaporkan berkata bahawa pasukannya tidak bernasib baik kerana mengharungi tiga perlawanan dalam lima hari sementara Malaysia mempunyai masa yang cukup untuk persiapan menghadapi perlawanan itu.

“Kami kekurangan tenaga dan kebanyakannya adalah gol mudah tetapi sememangnya Malaysia menguasai perlawanan tetapi kurang mencipta peluang. Namun mereka berhak menang,” katanya.

BHOnLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button