Nenek sempat masak nasi goreng kegemaran arwah
Kulai: “Air mukanya kelihatan tenang sahaja dan dia tidak tunjukkan sebarang perubahan,” kata Painam Selamat, 82.
Dia memberi reaksi itu ketika menceritakan pertemuan terakhirnya dengan Iqbal Hasnun Halimi, 23, yang maut dalam kemalangan bersama empat rakan di Lebuhraya Utara Selatan dekat Kuala Kangsar, malam tadi.
Nenek penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) itu berkata, dia bertemu cucunya itu, lima hari lalu ketika beraya di rumah keluarga arwah di Senai.
Katanya, arwah yang juga anak sulung daripada empat beradik ada memintanya memasak nasi goreng kegemaran ketika dia kecil untuk sarapan pagi pada Syawal ketiga.
“Ketika itu arwah menziarahi saya di Benut, Pontian. Saya tidak sangka arwah akan pulang dulu menemui Ilahi bersama rakan-rakannya.
“Kami akan merinduinya buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga arwah di Taman Impian Jaya, Senai semalam.
Ibu saudara Iqbal Hasnun, Siti Nurassikin, 43, pula memberitahu, keluarga mereka menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kejadian itu.
“Iqbal Hasnun memasang impian untuk menjadi guru seperti ibu bapanya yang mengajar di Sekolah Islam Hidayah dan mahu melanjutkan pengajian di Universiti Al Azhar di Mesir.
“Dia pasti akan dirindui kami sekeluarga terutama ibu bapa dan adik-beradiknya berusia empat hingga 18 tahun,” katanya.
Sementara itu, bapa saudara Iqbal Hasnun, Mohd Hairuddin Paralan, 38, berkata, kehilangan pemuda itu satu kehilangan besar buat keluarga mereka dan sangat dirasai mereka.
Katanya, dia mengetahui mengenai kejadian selepas menerima panggilan daripada kakaknya, Siti Norlaila yang juga ibu Iqbal Hasnun pada 5.30 pagi.
Menurutnya, sebelum ini arwah mengikuti pembelajaran secara dalam talian di rumah keluarga dan hanya pulang ke kampus pada Januari lalu.
Katanya, sebelum ini arwah mengikuti pembelajaran dalam talian namun mula ke hadir ke kuliah di universiti berkenaan mulai Januari lalu.