Orang Awam Gagalkan Cubaan Lelaki OKU Culik Kanak-Kanak

Pasir Gudang, Johor Bahru – Seorang kanak-kanak yang sedang berjalan kaki berdepan detik cemas apabila dia dipercayai diculik oleh seorang lelaki tidak dikenali dengan membawanya menaiki motosikal di Pasir Gudang, Johor Bahru.

Cuba melarikan kanak-kanak

Menerusi beberapa video yang dimuat naik oleh Info Berita Semasa di Facebook, memperlihatkan seorang lelaki berlari sambil mendukung seorang kanak-kanak lelaki. Orang ramai yang melihat perbuatan lelaki terbabit bertindak menghalang dan menangkap sebelum menghubungi pihak polis.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, sebelum kejadian lelaki berkenaan telah mempelawa kanak-kanak lelaki terbabit untuk menghantarnya pulang ke rumah sebelum bertindak melarikannya.

Siasatan awal mendapati ketika kejadian kanak-kanak itu berjalan dari Sekolah Agama (SA) Taman Scientex dan suspek mempelawa mangsa menumpang motosikal untuk dihantar pulang.

Susulan daripada itu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.30 pagi untuk memaklumkan kejadian terbabit. Ujarnya lagi, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Honda Dash yang digunakan untuk menculik mangsa.

Ada masalah psikiatri & positif dadah

Hasil siasatan awal mendapati suspek mempunyai masalah psikiatri dan hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah.

Suspek berusia pertengahan 20-an adalah pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) mental dan hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methaphetamine.

Suspek juga dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Walau bagaimanapun, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda.

Polis menasihati ibu bapa, penjaga dan pelajar sekolah agar lebih peka dan prihatin terhadap keadaan sekeliling agar perkara umpama ini tidak berulang.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker