“Saya tidak pernah letak jawatan” – Sulaiman Ali

 

KENYATAAN MEDIA
YAB KETUA MENTERI MELAKA

1. Setelah memenangi Pilihan Raya Negeri Melaka ke 15 yang lalu, saya bersama-sama EXCO dan anggota pentadbiran kerajaan negeri berusaha gigih melaksanakan program-program pembangunan negeri Melaka dan memenuhi akujanji-akujanji yang telah dilafazkan.

Segala usaha ini adalah untuk memastikan negeri Melaka dan rakyatnya dapat menikmati limpahan kemajuan, pembangunan dan kemakmuran yang setanding dengan negeri-negeri dan negara-negara maju yang lain.

2. Ketika ini saya berada Sarajevo, Bosnia and Herzegovina, mengetuai misi pelaburan negeri dan menghadiri Sarajevo Business Forum 2022.



Turut hadir bersama-sama dengan saya ialah YB Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh, Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Misi ini adalah untuk melihat peluang-peluang pelaburan di sini serta untuk menarik pelaburan asing ke negeri Melaka.

3. Pada masa yang sama, saya terus memberikan perhatian dan mengikut rapat perkembangan yang berlaku di negeri Melaka, baik daripada segi pentadbiran kerajaan negeri mahupun daripada segi perkembangan politik tanah air.

MASIH KETUA MENTERI MELAKA DAN AKAN TERUS BERKHIDMAT

4. Saya ingin menegaskan bahawa saya masih Ketua Menteri Melaka dan akan terus berkhidmat dengan sehabis baik dan sedaya upaya selagi mana dikehendaki oleh pucuk pimpinan.

Saya menafikan dakwaan bahawa saya telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka. Ini adalah dakwaan yang berniat untuk mengganggu gugat kestabilan Kerajaan Negeri Melaka yang saya terajui selepas PRN Melaka ke-15.

5. Isu sebegini tidak sepatutnya timbul terutamanya ketika UMNO dan Barisan Nasional negeri Melaka sedang fokus memperkukuhkan usaha dan tenaga untuk merampas kembali kerusi parlimen yang telah hilang semasa PRU 14 lalu.



Keterbukaan saya mendengar pandangan ahli-ahli politik negeri Melaka bukanlah suatu kelemahan, sebaliknya ia adalah kekuatan bagi menghasilkan keputusan yang terbaik.

MUHASABAH UNTUK MENANG PRU15

6. Sempena bulan Syawal yang mulia ini, saya menyeru agar kita semua bermuhasabah demi menguatkan parti dan memberikan tumpuan kepada usaha untuk memenangi PRU 15 akan datang.

Kita punya agenda yang lebih besar dan utama dari bermain politik seperti ini. Saya orang parti, dan sebagai orang parti kita dituntut mematuhi keputusan yang telah dibuat oleh parti.



Sekian, Terima kasih.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button