USAS bantu urus jenazah 5 penuntut maut

Kuala Kangsar: Lima penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (Usas), di sini yang rentung dalam nahas tiga kenderaan di KM245.2, Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara, di sini pada Khamis bakal menduduki peperiksaan tiga minggu lagi.

Naib Canselor Usas, Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi berkata, sesi pengajaran dan pembelajaran di universiti itu untuk semester ini hampir selesai dengan peperiksaan akhir bakal berlangsung pada hujung Mei.

“Lagi tiga minggu peperiksaan akhir semester dan kesemua pelajar baru masuk semula ke kampus kira-kira seminggu lalu selepas cuti Aidilfitri yang lalu,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar, di sini hari ini.

Lima penuntut maut itu dikenal pasti Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19; dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20.



Muhammad Nasrun mengambil jurusan Sarjana Muda Pengajian Islam; Ahmad Naim Najmi (Sarjana Muda Kaunseling); Iqbal Hasnun (Sarjana Muda Pengajian Islam); Muhammad Nabil Haikal (Diploma Pentadbiran Perniagaan); dan Ahmad Akmal (Diploma Kaunseling Islami).

Menurut Nordin lagi, semua pelajar itu difahamkan sedang keluar kawasan (outing) ke Ipoh menggunakan kereta yang disewa berikutan tiada kelas.

Katanya, pihak Usas akan membantu semua waris penuntut termasuk penginapan dan makan minum sepanjang pengurusan jenazah.

“InsyaAllah Usas akan uruskan apa juga berkaitan jenazah dengan pihak hospital. Ibu bapa mereka juga sudah dihubungi.



“Bantuan yang diuruskan Usas termasuk dalam hal ehwal takaful insuran berkelompok pelajar. Jika urusan jenazah tidak sempat diselesaikan hari ini, Usas akan menanggung biaya perbelanjaan waris mereka sepanjang menguruskan jenazah di Kuala Kangsar,” katanya.

Muhammad Nasrun berasal dari Kuala Kubu Bharu, Selangor; Ahmad Naim Najmi (Chukai, Terengganu); Iqbal Hasnun (Senai, Johor); Muhammad Nabil Haikal (Batu Caves, Selangor); danAhmad Akmal (Parit Buntar, Perak)

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker