Anwar sokong buka semula siasatan ‘skandal forex’

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong sebarang usaha untuk membuka kembali siasatan berkait kerugian berjumlah RM31.5 bilion dalam ‘skandal forex’ atau tukaran wang asing membabitkan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1990-an.

Ketua pembangkang itu berkata, beliau tidak ada masalah sekiranya Peguam Negara mahu membuka kes itu sekarang dan terserah kepada kerajaan hari ini untuk membuat keputusannya.

“Pendirian saya jelas, kalau esok boleh bercakap dengan Perdana Menteri, sila beritahu Peguam Negara buka siasatan terbuka. Saya tiada masalah.



“Ini beza saya dengan (Datuk Seri) Najib (Razak). Saya tidak mahu ada mana-mana kes di mana ahli politik menggunakan jentera politik dan kerajaan untuk menutup kes dan mendera orang,” katanya ketika menjawab soalan diajukan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika program Debat Perdana malam ini.

Program disiarkan secara langsung di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) itu menyaksikan Anwar yang juga Presiden PKR berkongsi pentas bersama Najib.

Skandal forex merujuk kepada kerugian tukaran wang asing berjumlah RM31.5 bilion membabitkan BNM dari 1991 hingga 1994 semasa negara diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu, Anwar berkata negara boleh jahanam jika masalah rasuah dalam negara tidak diselesai dengan menyeluruh.



“Jangan gunakan alasan apa yang menghalang Peguam Negara membuka semula kes.

“Ini saya selalu sebut di Parlimen, ia digunakan sebagai alasan kononnya mantan Ketua SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan Perdana Menteri, keputusan mereka itu menghalang kita.

“Perdana Menteri sekarang UMNO, ambillah tindakan,” katanya.

BHOnline



 

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button