Hasrat ke separuh akhir musnah

Kuala Lumpur: Sasaran skuad badminton negara untuk bergelar juara Piala Thomas bagi edisi 2022 akhirnya terkubur apabila ditundukkan India 2-3 dalam aksi suku akhir sebentar tadi.

Pasukan negara terpaksa akur akan kehebatan barisan pemain India yang berdasarkan kedudukan ranking lebih memihak kepada negara itu terutama dalam acara perseorangan.

Dalam aksi di Impact Arena Bangkok, Thailand, Malaysia terlebih dahulu mendahului India menerusi Lee Zii Jia yang berjaya melunaskan dendam terhadap Lakshya Sen dengan kemenangan 23-21, 21-9.

India mengikat kedudukan menerusi beregunya Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty yang berjaya menjinakkan beregu kedua negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin 21-19, 21-15.

Harapan negara untuk mendahului tidak kesampaian apabila perseorangan kedua Ng Tze Yong tewas kepada Kidambi Srikanth 11-21, 17-21.

Bagaimanapun, beregu kedua negara Aaron Chia yang berpasangan dengan Teo Ee Yi menghidupkan kembali peluang apabila berjaya mengikat kedudukan 2-2 selepas menewaskan Krishna Prasad Garaga-Vishnuvardhan Goud Panjala 21-19, 21-17.

Leong Jun Hao yang berkedudukan ranking 124 dipertanggungjawabkan sebagai perseorangan ketiga tidak dapat mengekang kehebatan Prannoy HS yang menghuni ranking ke-23 dunia apabila tewas 13-21, 8-21 dalam tempoh 39 minit.

Kali terakhir Malaysia muncul juara kejohanan berpasukan yang dilabel seperti Piala Dunia bola sepak itu adalah pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker