Lori rempuh 8 kenderaan ada masalah brek

Subang Jaya: Masalah brek menjadi punca lori membawa muatan getah beku hilang kawalan dan merempuh lapan kenderaan lain dalam kemalangan di Kilometer 9.2 Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) dekat Subang di sini, malam tadi.

Kejadian 11.44 malam itu membabitkan lori, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire, Nissan Grand Livina, dua Honda City dan masing-masing satu kereta Audi, Perodua Myvi, Perodua Bezza serta Proton Iriz.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Deputi Superintendan Ahmad Izuddin Mohd Juhari berkata, lori dipandu lelaki berusia 54 tahun dari Slim River, Perak menghala ke Tampin, Negeri Sembilan.

“Siasatan awal mendapati, lori yang berada di lorong paling kiri mengalami masalah brek lalu terbabas dan merempuh lapan kenderaan yang sedang berhenti di lorong tengah serta kanan kerana terdapat penyelenggaraan jalan di hadapan.



“Akibat rempuhan itu, tujuh mangsa berusia lima hingga 57 tahun tersepit di dalam kenderaan dan berjaya dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.

“Polis juga sudah menerima laporan daripada pemandu lori dan tujuh pemandu kenderaan lain. Hanya satu pemandu warga Bangladesh belum buat laporan. Pemandu lori juga memberikan kerjasama yang baik setakat ini,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker