‘Saya kurang selesa bercakap berkenaan status’

Nama Sophia Albarakbah mula dikenali selepas kejayaan membawakan watak Cahaya Malaika dengan berkesan dalam drama Suamiku Lelaki Pendosa menerusi slot Samarinda TV3 yang ditayangkan sepanjang Februari lalu.

Sementelah meniti populariti sekarang, tentu segelintir peminat terutamanya kaum lelaki mahu mengenali pelakon yang dikenali dengan nama komersial Sophie Koshka ini.

Sophia, 27, berkata, dia sebenarnya lebih terbuka untuk bercakap berkenaan karier berbanding isu peribadi.

“Saya minta maaf jika ada pertanyaan membabitkan teman lelaki atau pasangan hidup kerana saya kurang selesa bercakap berkenaan status.

“Kalau dah tiba masanya, saya pasti akan kahwin sahaja. Lagipun saya tak perlu terburu-buru pun ke arah itu kerana nak fokus pada karier terlebih dahulu.

“Bukan kerana takut saham saya jatuh apabila mengaku dah berpunya tapi saya seorang yang pentingkan privasi dan sukakan privasi.

“Kalau boleh saya tak suka orang tahu banyak sangat cerita peribadi berbanding karier,” katanya.

Sophia yang pernah membintangi drama Tercipta Satu Ikatan dan Hadiah Dari Tuhan berkata, dia juga lebih suka menyimpan sendiri masalah berbanding bercerita dengan orang lain.

“Setakat ini saya tak pernah minta tip daripada pelakon senior berkenaan karier dan isu peribadi. Jika misalnya ada masalah atau cerita sedih dalam karier, saya hanya akan berkongsi dengan kawan rapat atau orang yang saya percaya.

“Saya sebenarnya jenis tak mudah percayakan orang. Jadi saya takkan hanya berkongsi macam itu sahaja. Saya jenis suka berhati-hati, dan saya pemalu, memang lebih selesa macam itu.

“Juga sebab orang ini suka berkata, suka bawa mulut serta tokok tambah, jadi saya tak suka kalau ada cerita tak bagus pasal saya yang tak betul pun. Jadi saya kena berhati-hati dengan percakapan dan pergaulan,” katanya.

Sophia yang teruja dengan kejayaan Suamiku Lelaki Pendosa berkata, dia bersyukur penonton dapat menerima watak yang dilakonkannya.

“Rezeki saya pun semakin bertambah. Saya akan tampil dengan drama Airmata Allisya, lakonan dengan Keith Foo yang akan ditayangkan setiap Jumaat di TV9 bermula 20 Mei ini.

“Sekarang saya tengah ‘shooting’ drama Cinta Hilang Kata bergandingan dengan Shahz Jaszle dan Iqram Dinzly sebanyak 40 episod untuk Astro Prima. Shooting masih berjalan mungkin sehingga Julai nanti.

“Dari segi kesesuaian watak pula, saya rasa bergantung pada tawaran dan penerimaan peminat. Kalau rasa sesuai, saya okey sahaja untuk terima,” katanya.

METRO

 

Leave a Reply