Suasana pilu iringi pengebumian jenazah Ahmad Naim

Chukai: Jenazah Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, salah seorang daripada lima penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang terkorban dalam kemalangan di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Terowong Menora, Perak dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kijal, di sini, hari ini.

Allahyarham Ahmad Naim Najmi, 21, dikebumikan berhampiran dengan pusara datuknya, Abdullah Sulong kira-kira 8 pagi tadi.

Terdahulu, jenazah Ahmad Naim dibawa pulang ke Kemaman selepas disolatkan di Masjid Raja Permaisuri Bainun, USAS kira-kira 9 malam semalam.

Jenazah mangsa tiba di kediaman neneknya di Kampung Penunjuk Kijal, di sini, kira-kira 3.15 pagi tadi dan disolatkan sekali lagi di kediaman neneknya selepas solat Subuh.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat bersama 100 ahli keluarga mangsa dan kenalan mengiringi jenazah ke tanah perkuburan.

Suasana pilu dan sedih menyelubungi majlis pengebumian apabila beberapa ahli keluarga kelihatan sebak ketika talkin dibacakan.

Sementara itu, ibunya, Shamila Abdullah, 44, berkata dia berterima kasih kepada semua pihak termasuk USAS yang membantu dari awal sehingga jenazah anaknya selamat dikebumikan.

“Saya bersyukur urusan perjalanan akhir anak saya dipermudahkan dan terima kasih kepada semua yang membantu semoga Allah membalas jasa baik kalian,” katanya.

Ahmad Naim maut dalam kemalangan bersama empat rakan lain iaitu Muhammad Nasrun Aidul Munir Akhbar, 22; Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nabil Haikal Muhamad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20.

Kesemua mereka ditemukan rentung selepas kereta Honda City dinaiki terbabit nahas tiga kenderaan termasuk dua treler kira-kira 12.52 tengah malam semalam.

METRO

Leave a Reply