Cadangan Najib, Anwar boleh dipakai

Kuala Lumpur: Cadangan dikemukakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika perdebatan kedua-duanya malam kelmarin, disifatkan boleh dilaksana bagi menyelesaikan kemelut Sapura Energy Bhd.

Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata pelaksanaan cadangan dikemukakan itu perlu dibuat mengikut keutamaan dalam usaha mengelakkan Sapura Energy diisytiharkan muflis.

“Krisis dialami Sapura Energy Bhd perlu diselesaikan segera sebelum syarikat itu diisytiharkan muflis dengan cadangan pengambilalihan oleh PETRONAS adalah lebih baik, berbanding pilihan ‘bailout’ berdasarkan keupayaan dan kepakaran dimiliki syarikat minyak negara itu.

“Strategi ‘bailout’ juga tidak kurang bagusnya di mana opsyen ini pernah dilaksanakan pada tahun 1990-an, seperti ‘bailout’ yang dibuat kepada syarikat Malaysia Airlines (MAS), Perwaja Steel Sdn Bhd dan juga pelbagai lagi skandal kewangan yang teruk berlaku pada tahun tempoh berkenaan akibat daripada kesilapan pelaksanaan dasar penswastaan pada ketika itu.

“Selain itu, opsyen ‘bailout’ yang dicadangkan Najib juga pernah dilakukan di AS, dengan mengambil contoh AIG dan juga Citi Group. Maksudnya, strategi ini terbukti berkesan dan adanya ‘template’ sebagai panduan,” katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Irwan Shah berkata, pelaksanaan audit forensik juga adalah satu cadangan yang baik, namun isu berkaitan Sapura Energy memerlukan pendekatan keutamaan.

“Saya berpandangan Sapura Energy ini perlu diselamatkan terlebih dahulu dengan adanya cadangan dasar ekonomi dan strategi kewangan yang boleh menyelesaikan masalah, bukannya mencari siapa yang salah. Mencari siapa yang salah boleh dilakukan kemudian.

“Kedua-dua syor Najib dan Anwar wajar dilaksanakan. Namun pada ketika ini, kita perlu menyelesaikan masalah dahulu, lepas itu barulah mencari siapa yang salah,” katanya.

Hakikatnya, beliau berkata, cadangan sebenarnya bukan hanya sekadar ‘bailout’ dan perkenalan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), tetapi sebuah visi ekonomi yang jelas, iaitu untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dengan penumpuan kepada ekonomi modal dan ekonomi rakyat .

“Jadi, cadangan Najib untuk memperkenalkan semula GST perlu dilihat dalam konteks visi ekonomi yang dicadangkan beliau dan prestasi ekonomi negara semasa beliau menjadi Perdana Menteri pada 2009 hingga 2018.

“Jelas bahawa pada ketika itu (2009-2018) ekonomi negara bukan sahaja berjaya keluar daripada krisis kewangan global 2008, tetapi juga menjadi lebih baik dari segi ekonomi modal dan juga ekonomi rakyat.

“Yang lebih penting lagi adalah ekonomi Malaysia tidak pernah terjerumus dalam krisis ataupun kegawatan ekonomi sepanjang pemerintahan beliau.

“Kita sudah pun merasai kedua-dua era apabila GST dilaksanakan dan apabila GST dihapuskan. Adakah harga barang turun apabila GST dihapuskan?” katanya.

Sementara itu, penganalisis ekonomi dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata bank tempatan perlu memberi pinjaman jangka pendek kepada Sapura Energy bagi mengelakkan syarikat diisytiharkan muflis, dengan audit forensik juga perlu dilaksanakan serentak.

Ini kerana, katanya, situasi Sapura Energy sudah kritikal, maka tempoh waktu yang pendek dan ketat perlu digunakan sebaik mungkin tanpa dilengahkan lagi, kerana ia turut membabitkan kakitangan, vendor dan pembekal yang masih menunggu pembayaran.

“Bank boleh mempertimbang untuk menyalurkan pinjaman jangka pendek untuk memastikan Sapura Energy kekal bertahan, sambil audit forensik dilaksanakan,” katanya.

Aimi Zulhazmi berkata, campur tangan PETRONAS untuk menyelamatkan Sapura Energy hanya diputuskan selepas audit forensik bagi mengetahui masalah sebenar yang dihadapi syarikat minyak dan gas (O&G) itu.

“Kita kena tahu apa masalah sebenar yang dihadapi Sapura Energy. Audit perlu dijalankan secara komprehensif. Kita tidak mahu ‘salah ubat untuk merawat’ syarikat ini,” katanya.

Beliau menegaskan, audit forensik memandangkan Sapura Energy membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang menjadi pemegang saham.

“Bagi mengelakkan intervensi politik yang berterusan, eloklah ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengawasi siasatan sehingga ia selesai,” katanya.

Sapura Energy merekodkan peningkatan kerugian bersih untuk tahun kewangan berakhir 31 Januari lalu kepada RM8.9 bilion, berbanding RM160.87 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun sebelum ini.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker