Korea Utara rekod 21 kematian ‘demam’

 

Korea Utara merekodkan 21 lagi kematian akibat ‘demam’.

Dua hari lepas Pyongyang mengumumkan kes pertama COVID-19 dan menguatkuasakan perintah berkurung di seluruh negara itu.

Media negara itu melaporkan, sebanyak 174,440 kes baharu ‘demam’ dikesan, semalam, dengan 21 orang meninggal dunia.

“Pada 13 Mei (semalam), sejumlah 174,440 kes baharu demam dilaporkan di seluruh negara, lapor KCNA.

TIADA PERINCIAN POSITIF COVID-19 ATAU TIDAK

Laporan itu tidak memperincikan sama ada mangsa terbabit positif COVID-19 atau tidak, namun pakar mendakwa Korea Utara kekurangan kapasiti untuk melaksanakan ujian saringan.

KCNA turut melaporkan, Korea Utara mengadakan mesyuarat kedua Politburo, minggu ini, dengan diselia pemimpin, Kim Jong Un yang menekankan bahawa wabak itu mencetuskan ‘pergolakan besar’ di Korea Utara.

Korea Utara sudah mengaktifkan ‘sistem kuarantin kecemasan maksimum’ bagi mengekang penularan virus dalam kalangan penduduknya yang tiada menerima vaksin.

Kelmarin, Korea Utara mengesahkan pesakit yang demam di Pyongyang dikesan positif jangkitan varian Omicron, termasuk seorang meninggal dunia.

Ia adalah pengesahan rasmi yang pertama kes COVID-19 di Korea Utara yang melaksanakan sekatan sejak awal pandemik sehingga memberi kesan besar terhadap ekonominya.

Menurut laporan media negara itu, kematian berkenaan disebabkan ‘kecuaian termasuk dos ubat yang berlebihan, akibat kekurangan ilmu pengetahuan mengenai kaedah rawatan saintifik.’

JONG UN PERCAYA KOREA UTARA MAMPU ATASI

Laporan berkenaan turut memetik Jong Un berkata, beliau percaya negara berkenaan mampu mengatasi penyakit berjangkit itu dalam tempoh sesingkat mungkin.

“Kita akan mengambil pengajaran daripada pengalaman dan pencapaian Parti Komunis China serta rakyatnya dalam usaha mencegah penularan virus,” katanya.

Menurut pakar, Korea Utara memiliki sistem kesihatan yang lemah – disifatkan antara terburuk di dunia – selain kekurangan ubat-ubatan dan peralatan penting.

Sebelum ini, Korea Utara dilaporkan menolak tawaran bekalan vaksin COVID-19 daripada China dan skim COVAX bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

– AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker