Padah berlumba, pamer aksi bahaya

Kuala Lumpur: Padah berlumba dan mempamerkan aksi berbahaya di lebuh raya, 11 penunggang motosikal termasuk dua warga Indonesia ditahan polis di beberapa lokasi di Seremban, Negeri Sembilan, awal pagi tadi.

Kesemua lelaki berusia 17 hingga 21 tahun itu ditahan pasukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman yang menjalankan Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) serta Lebuhraya Kajang Seremban (Lekas).

Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, 21 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi bermula 11 malam hingga 9 pagi tadi.

“Ketika pemantauan dilakukan di Lebuhraya Plus, pasukan melihat dua motosikal ditunggang secara bersaing sambil melakukan aksi ‘superman’ dan ‘zig zag’ bermula dari Kilometer (KM) 269.8 sehingga KM271 arah Kuala Lumpur.

“Pasukan yang mengekori kedua-dua penunggang berjaya menahan mereka ketika berhenti berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Seremban pada jam 1.40 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi sama anggota turut menahan empat lelaki yang berlumba dan melakukan aksi berbahaya di KM37.6 sehingga KM43 Lekas arah Seremban.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan di kawasan parkir Jalan KLS 2 Taman Seri Paroi dan belakang premis Jalan Lavender Heights, Seremban pada jam 2.10 pagi.

“Pada jam 2.30 pagi, pasukan menahan pula lima lagi lelaki di Jalan Rasah Prima, Seremban, selepas didapati melakukan aksi berbahaya dan bersaing sesama sendiri di sepanjang Lebuhraya Plus bermula dari KM263 sehingga KM258 arah Seremban,” katanya.

Katanya, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan sebanyak 36 saman dikeluarkan.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker