15 penjawat awam terima rasuah lebih RM2 juta

Oleh – Syeikh Baran


15 penjawat awam terima rasuah lebih RM2 juta
Gambar Hiasan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 15 penjawat awam kerana disyaki menerima rasuah lebih RM2 juta daripada sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan arak melalui pintu masuk negara.

Semua suspek berusia antara 30 hingga 50-an itu ditahan kira-kira jam 2 petang tadi selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini.

Penahanan dilakukan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM susulan Op Samba 2.0 yang dijalankan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) sejak minggu lalu.



Sumber berkata, siasatan awal mendapati semua suspek disyaki terbabit dalam perbuatan itu antara 2017 hingga 2023.

“Suspek yang ditahan dipercayai menerima wang rasuah lebih RM2 juta daripada sindiket bagi memudahkan kegiatan menyeludup tembakau kunyah, rokok, arak serta beberapa barangan lain,” katanya.

Susulan penahanan itu, AML SPRM merampas barangan seperti telefon bimbit selain membekukan akaun bank semua suspek.

Pengarah AML SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan 15 suspek terbabit dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.



Katanya, semua suspek akan dibawa untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya esok.

Sebelum ini SPRM dilapor menahan reman 11 individu termasuk lima penjawat awam kerana terbabit kegiatan sindiket berkenaan.

Modus operandi sindiket itu termasuk menggunakan khidmat ‘forwarding agent’ sebagai orang tengah bagi pembayaran habuan kepada penguat kuasa untuk melicinkan proses penyeludupan arak, rokok, tembakau dan barangan lain tanpa melalui pengisytiharan serta pemeriksaan yang sepatutnya.

Sindiket itu juga dipercayai menggunakan akaun keldai bagi melakukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada penjawat awam yang bersekongkol dengan mereka.

Selain itu, sindiket dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan ‘syarikat hantu’, melalui pengurup wang dan syarikat pinjaman wang berlesen.

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker