India cipta sejarah julang Piala Thomas

Bangkok: India mencipta sejarah apabila memenangi Piala Thomas buat kali pertama selepas menewaskan penyandang juara, Indonesia 3-0 di Bangkok, hari ini.

India, yang beraksi dalam final sulung kejohanan berpasukan lelaki itu, mengesahkan kejuaraan apabila pemain nombor 11 dunia, Kidambi Srikanth menewaskan Jonatan Christie 21-15, 23-21.

Indonesia, pasukan paling berjaya dalam kejohanan itu yang sebelum ini memenanginya sebanyak 14 kali, tidak dapat mengekang kemaraan India.

India sudah mendahului 2-0 selepas Lakshya Sen menewaskan Anthony Ginting dalam perlawanan perseorangan pertama dan kemudian Satwiksairaj Rankireddy dan Chirag Shetty menewaskan Mohammad Ahsan dan Kevin Sukamuljo dalam acara beregu.

Tugas berat kemudian digalas oleh Jonatan, pemenang pingat emas Sukan Asia, untuk menyelamatkan maruah Indonesia.

Jonatan yang berada di ranking kelapan dunia tidak dapat melakukannya dan kelihatan gugup pada permulaan permainan ketika menentang Srikanth.

Pada aksi pertama, pemain kelima dunia, Ginting bermula cemerlang apabila menewaskan Sen, 21-8 di set pertama.

Namun dia beraksi goyah sehingga menyaksikan Sen memenangi set berikutnya 21-17, 21-16.

“Kemenangan ini untuk pasukan. Mereka menyokong saya sepanjang saya beraksi.

“Pada hujung perlawanan saya benar-benar gementar dan cuba menenangkan diri dengan menarik nafas sedalam-dalamnya,” kata Sen.

METRO

Leave a Reply