Lebih setengah jam ‘pujuk’ pasangan kekasih

Kota Bharu: Penguat kuasa agama dan pihak berkuasa tempatan mengambil masa lebih setengah jam untuk ‘memujuk’ pasangan kekasih yang didakwa menginap di hotel bajet, di sini, dalam operasi mencegah khalwat, semalam.

Pasangan berusia 20-an itu memberi alasan takut untuk membuka pintu apabila mendengar ketukan pada 10 malam, selain cuba bersembunyi.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Mohd Fadzuli Mohd Zain berkata, pihaknya bersama penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) mengesan pasangan itu berdua-dua di dalam bilik hotel selepas mereka membuka pintu, lebih setengah jam kemudian.



“Kita menahan mereka untuk siasatan lanjut dan pada masa yang sama turut menahan satu lagi pasangan di bilik lain di hotel berkenaan.

“Kesemua mereka berusia 20-an gagal mengemukakan dokumen perkahwinan yang sah dan dibawa ke JAHEAIK untuk siasatan mengikut Seksyen 50 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) (I) 2019,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd Fadzuli berkata, operasi itu turut menahan lelaki berusia 50-an selepas disyaki mengambil minuman keras di kedai makan di bandar ini pada 5 petang.



“Dia diberi nasihat supaya tidak terbabit dengan pengambilan minuman yang memabukkan.

“Selain itu, pasangan yang duduk berdua-duaan di dalam kereta juga ditahan semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 21 EKJS (I) 2019,” katanya.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan diambil bertujuan mendidik masyarakat Islam supaya memelihara syariat dan kesucian agama terutama di bulan Syawal yang mulia ini.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button