Rakyat penting bantu pulihkan sektor pelancongan

Masa begitu cepat berlalu dan kini kita bakal melangkah ke separuh kedua 2022. Statistik kedatangan pelancong asing ke negara ini kian meningkat, sekali gus menunjukkan prestasi cemerlang industri pelancongan negara selepas ‘kemarau panjang’ tatkala COVID-19.

Pelancongan antarabangsa juga meneruskan pemulihannya pada Januari lalu dengan prestasi jauh lebih baik berbanding permulaan lemah pada 2021.

Tahniah diucapkan kepada semua penggiat industri pelancongan khususnya ‘orang kuat’ pelancongan. Keringat dan usaha anda akhirnya berjaya menampakkan hasil sungguh membanggakan.

Berdasarkan data terkini Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO) ketibaan pelancong antarabangsa meningkat lebih dua kali ganda, iaitu 130 peratus pada Januari lalu berbanding 2021.

Asia dan Pasifik mencatat peningkatan 44 peratus tahun ke tahun, beberapa destinasi kekal ditutup untuk perjalanan tidak penting menyebabkan penurunan terbesar ketibaan antarabangsa sepanjang 2019, iaitu menurun 93 peratus.

Walaupun statistik ini mengesahkan arah aliran positif dijalankan tahun lepas, kadar pemulihan pada Januari dipengaruhi kemunculan varian Omicron dan pengenalan semula sekatan perjalanan di beberapa destinasi.

Selepas kejatuhan yang tidak pernah berlaku sebelum ini pada 2020 dan 2021, pelancongan antarabangsa dijangka meneruskan pemulihannya secara beransur-ansur pada tahun ini.

Sehingga Mac lalu, 12 destinasi tidak lagi mempunyai sekatan berkaitan COVID-19 dan semakin banyak destinasi melonggarkan atau menarik balik sekatan perjalanan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan prestasi pelancongan dunia.

Namun, pencerobohan Russia ke atas Ukraine menambah tekanan kepada ketidaktentuan ekonomi sedia ada, ditambah beberapa sekatan perjalanan berkaitan COVID-19 masih dilaksanakan.

Penutupan ruang udara Ukraine dan Russia serta larangan ke atas syarikat penerbangan Russia oleh banyak negara di Eropah menjejaskan perjalanan intra-Eropah.

Ia juga menyebabkan lencongan dalam penerbangan jarak jauh antara Eropah dengan Asia Timur yang diterjemahkan kepada penerbangan lebih panjang dan kos lebih tinggi.

Russia dan Ukraine menyumbang 3 peratus daripada perbelanjaan global untuk pelancongan antarabangsa pada 2020 dan sekurang-kurangnya AS$14 bilion (RM62 bilion) dalam penerimaan pelancongan global boleh hilang jika konflik itu berlarutan.

Kedua-dua pasaran bukan sahaja penting bagi negara jiran, tetapi juga untuk destinasi Asia dan Asia Barat. Pasaran Russia juga meningkat dengan ketara ketika pandemik untuk destinasi jarak jauh seperti Maldives, Seychelles atau Sri Lanka.

Walaupun masih terlalu awal untuk menilai kesannya, carian dan tempahan perjalanan udara melalui pelbagai saluran menunjukkan kelembapan seminggu selepas pencerobohan di Ukraine tetapi mula menunjukkan pemulihan pada awal Mac lalu.

Sama ada kita bersedia atau tidak, pelancongan kini menjadi sebahagian daripada hidup kita. Buktinya, pantang ada cuti hujung minggu atau hari kelepasan am, destinasi pelancongan sering menjadi tumpuan ramai.

Inilah realiti yang berlaku ketika musim perayaan baru-baru ini apabila kebanyakan hotel atau lokasi penginapan habis ditempah. Limpahan manusia yang sentiasa kunjung tiba memberikan petanda positif kepada sektor pelancongan kita.

Dari segi produk pelancongan sememangnya kita hebat. Macam-macam produk pelancongan kita ada. Daripada pantai peranginan, taman rekreasi, taman tema dan banyak lagi. Pilih sahaja yang mana satu yang memenuhi cita rasa kita.

Dari sudut perkhidmatan pelancongan pula masih banyak lagi ruang yang boleh kita perbaiki. Ada yang semakin sedar mengenai kepentingan memberikan mutu perkhidmatan baik kepada pelancong, tetapi masih ada yang alpa dengan tanggungjawab penting itu.

Nasib industri pelancongan terletak di tangan kita bersama, sama ada kita cuma pengendali agensi pelancongan atau pengusaha hotel dan sama ada kita penggubal dasar pelancongan atau ‘orang’ tertinggi dalam industri pelancongan negara.

Tugas mungkin berbeza, tetapi kita mempunyai visi sama, iaitu memajukan industri pelancongan ke tahap paling cemerlang.

Bagaimana kita hendak menterjemahkan aspirasi Perdana Menteri yang melaungkan slogan Keluarga Malaysia jika kita masih tidak bersatu suara dalam memartabatkan lagi sektor pelancongan kita?

Dengan kebangkitan semula industri pelancongan ini, marilah kita bersama-sama menjayakan aspirasi pelancongan kita dengan semangat baru.

Tugas untuk memperkasakan industri pelancongan ini bukan hanya tugas Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) atau Tourism Malaysia, malah ini semua adalah tugas kita bersama.

Datuk Azlie Halim

Naib Presiden Majlis Pelancongan Malaysia

Leave a Reply