5 beranak diselamatkan dari kereta dihanyut banjir

KUALA PILAH: Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki lima beranak, termasuk seorang bayi, dihanyutkan arus deras banjir susulan hujan lebat di Kampung Dingkir Inas, di sini, semalam.

Bagaimanapun, dalam insiden mencemaskan kira-kira jam 5.30 petang itu, semua mangsa terbabit berjaya diselamatkan dan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan berkata, insiden berlaku apabila pemandu MPV jenis Toyota Avanza itu dikatakan cuba melalui jalan yang ditenggelami air di lokasi berkenaan.

“Pihak bomba menerima panggilan jam 5.36 petang berhubung kejadian berkenaan. Susulan itu, sepasukan anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Pilah bersama dua jentera bergegas ke lokasi sebelum tiba jam 5.45 petang.



“Setiba di lokasi, pasukan mendapati ada sebuah MPV berwarna biru tersangkut di kawasan semak dipercayai dibawa arus, dan maklumat diterima menyatakan terdapat lima mangsa terperangkap di dalamnya,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, pasukan kemudian melakukan operasi mengeluarkan mangsa dengan bantuan orang ramai sebelum kesemua mangsa berjaya diselamatkan.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, pemandu terbabit dikatakan cuba melalui jalan yang dinaiki air itu, namun MPV berkenaan dibawa arus deras.

“Mangsa terdiri daripada dua wanita dewasa, dua kanak-kanak dan seorang bayi. Semua mangsa dilaporkan tidak mengalami kecederaan, sebelum dibawa ke penempatan sementara menggunakan kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS),” katanya.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker