Kanak-kanak perlu RM140,000 tampung kos bedah

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun mengalami masalah osteogenesis imperfecta atau tulang rapuh memerlukan bantuan kewangan sebanyak RM140,000 bagi menampung kos pembedahan.

Khayla Adha Mirza Imran disahkan menghidap penyakit tulang rapuh di keseluruhan tubuh badannya sejak lahir dan memerlukan rawatan segera untuk membantu menguatkan tulangnya daripada terus patah.

Ibunya, Khairol Niza Zaffarullah Khan, 42, berkata, penyakit yang dialami Kayla sejak lahir ini menyebabkan lebih 40 tulang di beberapa bahagian tubuh badannya patah.

Penyakit ini turut menyebabkan aktiviti harian anak bongsu daripada tiga beradik itu terbatas kerana tidak boleh berjalan di samping hanya mampu duduk dan baring sahaja.



“Pergerakan yang banyak akan menyebabkan tulang dalam badannya mudah patah.

“Sebelum ini, Kayla pernah melakukan rawatan di sebuah hospital di Pulau Pinang, namun bagi pembedahan kali ini, ia akan dilakukan di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur,” katanya kepada BH.

Khairol Niza yang membuat dan menjual roti bagi menampung pendapatan keluarga berkata, Kayla perlu dijaga sepanjang masa.

Katanya, Kayla juga tidak dihantar ke sekolah, sebaliknya dibantu oleh kakaknya yang juga masih bersekolah untuk mengajar di rumah.



Menurutnya, pembedahan kali ini hanya dilakukan di bahagian kaki kerana risiko tulang patah di bahagian kaki adalah tinggi berikutan bahagian berkenaan membabitkan banyak pergerakan.

“Pembedahan ini perlu dilaksanakan segera bagi memasukkan besi dalam paha dan betis untuk membantu menguatkan tulang Kayla daripada terus patah serta boleh menyebabkan tulang di bahagian kakinya terus membengkok.

“Saya berharap pembedahan ini berjalan dengan baik dan lancar di samping dapat membantu untuk mengurangkan rasa sakit serta membolehkannya berjalan,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan dalam bentuk wang tunai atau cek dengan menulis nama pesakit (Khayla Adha Mirza Imran) di belakang cek kepada Tabung Kemanusiaan MEDIA PRIMA-NSTP.

Sumbangan boleh dialamatkan kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat Empat, Anjung Riong, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur atau menerusi akaun bank Tabung Kemanusiaan MEDIA PRIMA-NSTP (MAYBANK – 5141-0532-3170).

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker