Orientasi pelik dalam gelap!

Seremban: Tradisi orientasi ‘pelik’ apabila pelajar tingkatan dua dikumpulkan dalam keadaan gelap sebelum dibuli dan dipukul.

Itu situasi dialami 75 pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah agama di sini, yang mendakwa cedera dipukul pelajar senior sekitar jam 11 malam pada Sabtu lalu.

Salah seorang bapa mangsa, Noor Azmi Mohd Nor, 44, mendakwa anaknya, Akmal Danish, 14, mengalami kecederaan pada kaki kanan dengan betis manakala badannya terdapat kesan akibat ditendang.

Dia berkata, anaknya mengalami kesesakan nafas dan berkeadaan separuh sedar selepas dipukul.



“Terdapat kesan lebam pada betis dipercayai dipukul menggunakan objek keras. Saya bawa anak ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar dan menghantarnya semula ke sekolah.

“Ini kali pertama berlaku terhadap anak saya, namun saya dapat tahu kes seperti ini pernah beberapa kali berlaku sebelum ini namun tidak didedahkan.

“Saya musykil aktiviti itu dilakukan pelajar senior dan pihak pengurusan khususnya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seolah-olah tidak mengambil berat,” katanya semalam.

Seorang lagi bapa pelajar Ahmad Fauzi Md Sood, 50, berkata anaknya, Ahmad Aqil Zafran, 14, turut menjadi mangsa buli pelajar senior sekolah berkenaan.



Beliau mendakwa anaknya dilibas dengan batang besi dan batang penyapu dalam kejadian itu.

“Saya mengambil tindakan membuat laporan polis mengenai kejadian itu. Saya difahamkan seramai 20 pelajar tingkatan empat melakukan aktiviti orientasi itu terhadap 75 pelajar tingkatan dua dan ia berlaku dalam keadaan gelap di asrama.

“Dalam gelap macam-macam boleh berlaku kecederaan di mata, kepala dan sebagainya. Saya ambil tindakan ini bukan untuk memburukkan nama sekolah, tetapi demi kepentingan pelajar lain keseluruhannya,” katanya.

Ahmad Fauzi berkata, anaknya menjadi trauma dengan kejadian itu dan berdepan keadaan sukar kerana akan menghadapi peperiksaan pada esok.

Sementara itu wakil ibu bapa, As’ad Inderas, 47, berkata, sekurang-kurangnya tujuh pelajar lelaki tingkatan dua mengalami kecederaan dan trauma selepas mendakwa dibuli dan dipukul pelajar senior tingkatan empat sekolah sama.

Dia memberitahu pihaknya dimaklumkan sekumpulan pelajar tingkatan empat bertindak mengumpulkan pelajar tingkatan dua untuk menjalani aktiviti orientasi pada malam kejadian.

“Ketika aktiviti itu dijalankan, pelajar tingkatan dua dipukul dan didera dengan menggunakan objek tumpul serta terdapat kalangan mereka yang cedera dengan tahap kecederaan berbeza.

“Namun apa dikesalkan adalah pihak pengurusan sekolah tidak memaklumkan secepat mungkin kepada ibu bapa mengenai kejadian itu.

“Ibu bapa pula mendapat tahu kejadian itu melalui anak masing-masing manakala pihak sekolah hanya memaklumkan kepada kami petang Sabtu lalu,” katanya pada sidang media di Labu di sini, semalam.

As’ad berkata, pihak sekolah merancang untuk bertemu ibu bapa pelajar pada petang semalam namun dibatalkan selepas ibu bapa membuat laporan polis mengenai insiden berkenaan.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker