Pemain Islam PSG enggan sarung jersi LGBTQ+

Paris: Pemain tengah Paris Saint-Germain (PSG), Idrissa Gueye dilaporkan terlepas beraksi ketika kemenangan 4-0 pasukannya menentang Montpellier semalam kerana tidak mahu bermain dengan jersi yang mempunyai nombor berwarna pelangi.

Pemain di seluruh Perancis memakai jersi khas pada aksi hujung minggu itu sebagai tanda solidariti untuk Hari Antarabangsa Menentang Homophobia, Biphobia dan Transphobia yang berlangsung esok.

Bagaimanapun bekas pemain Everton dan Aston Villa, Gueye, tiada pada perlawanan itu dengan pengurus PSG, Mauricio Pochettino menyatakan ia ‘adalah sebab peribadi, tetapi dia tidak cedera’.

Bagaimanapun terdapat laporan menyatakan sebab utama ketiadaan Gueye adalah kerana dia tidak mahu memakai jersi bernombor warna pelangi.

Persatuan di Perancis yang menangani homofobia dalam sukan, Rouge Direct mendesak Liga Perancis dan PSG untuk mengambil tindakan ke atas Gueye.

“LFP dan PSG mesti meminta Gana Gueye memberikan penjelasan dengan secepat mungkin dan menghukumnya jika perlu,” tweet badan itu, semalam.

Presiden Persekutuan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT)+Sukan Perancis, Eric Arassus, turut memberikan pandangannya.

“Idrissa Gueye adalah pemain yang hebat, tetapi agama bukan sebahagian daripada sukan. Setiap pemain mengambil bahagian kecuali dia,” katanya.

Gueye, 32, adalah seorang Muslim yang taat dan dia kerap berkongsi mesej tentang kepercayaannya di seluruh platform media sosialnya.

METRO

Leave a Reply