Perpaduan UMNO semakin mantap – Noh

SHAH ALAM: Keputusan sebulat suara perwakilan meluluskan usul pindaan Perlembagaan UMNO bagi membolehkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) diberi pilihan menentukan tempoh masa pemilihan parti, Ahad lalu, membuktikan perpaduan UMNO semakin mantap.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, berkata ia sekali gus menolak dakwaan bahawa wujud ‘kluster’ tertentu dalam kalangan ahli UMNO.

Malah, beliau menyifatkan sokongan padu oleh seluruh perwakilan yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas itu, sebagai hikmah dan barakah.

“Lebih menarik perhatian apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Naib Presiden (UMNO), bangun menyokong usul itu.

“Ini membuktikan bahawa perpaduan UMNO amat baik. Kalau ada yang kata terdapat ‘Kluster Putrajaya’…’Kluster UMNO’, itu tidak betul. Yang kita ada sekarang ialah perpaduan UMNO.

“Apabila ada pindaan itu, bermakna tidak timbul lagi isu hendak pilihan raya dulu atau hendak pemilihan pimpinan parti dulu. Jadi, ini semua terserah kepada pimpinan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra dan Sambutan Aidilfitri bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, malam tadi.

Majlis itu turut dihadiri Ismail Sabri dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, serta bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, pihaknya sedang berusaha membantu usahawan dalam kalangan siswazah.

“Insya-Allah, jika tidak sempat tahun ini, kita akan memohon bajet tahun depan. Ini kerana sudah tiba masanya kementerian merancang satu skim untuk membantu usahawan dalam kalangan siswazah, golongan muda.

“Saya ada membuat perjumpaan dengan pentadbiran universiti seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Utara Malaysia (UUM). Universiti berkenaan mempunyai kursus keusahawan, dan kita mengeratkan hubungan (dua hala).

“Kementerian sedang merancang untuk memberi skim khas membantu usahawan graduan. Saya akan memaklumkan perkara ini kemudian. Kita sedang berbincang,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker