Hamilton diberi amaran keras pakai barang kemas
LONDON: Lewis Hamilton diberi amaran oleh Pengerusi Persatuan Pemandu Grand Prix, Alex Wurz bahawa memakai barangan kemas boleh mendatangkan risiko “penderitaan bertahun”.
FIA sudah menetapkan peraturan berkaitan isu pemandu memakai barang kemas ketika berlumba.
Peraturan dikenakan FIA melarang pemandu memakai barang kemas ketika berlumba dan ia berkuatkuasa pada perlumbaan di GP Miami.
SunSport difahamkan bahawa Presiden FIA, Mohammed bin Sulayem, mahu peraturan itu dipatuhi Hamilton sejak dia mengambil alih jawatan berkenaan pada Disember.
Tonggak Mercedes, Hamilton diberikan pengecualian sebanyak dua perlumbaan selepas berkata dia tidak boleh mengeluarkan dua subang dipakainya.
Pemandu berusia 37 tahun itu diberi tempoh hingga GP Monaco untuk mematuhi peraturan berkenaan tetapi dia mahu diberikan pengecualian memakai barangan kemas hingga penamat musim.
Ikon British itu berazam untuk terus berlumba sambil memakai subang walaupun bakal berdepan denda yang besar.
Dia sudah diberi amaran oleh Ted Kravitz yang menyatakan dia boleh dilarang berlumba jika gagal membuang semua subang dipakainya.
Dan kini Wurz menegaskan Hamilton melakukan kesilapan untuk terus memakai barang kemas dengan menjelaskan peraturan FIA ialah untuk melindungi pemandu. AGENSI