Pemain terkaya dunia belum ledak gol
London: Pemain bola sepak terkaya dunia, Faiq Bolkiah masih belum menjaringkan gol untuk kelab baharunya, Chonburi FC.
Faiq ialah anak saudara Sultan Brunei berusia 24 tahun, yang dilaporkan mempunyai nilai kekayaan £16 bilion (RM87.6 bilion). Dia membuat penampilan sulung untuk kelab Thailand itu awal tahun ini selepas gagal di England bersama Arsenal, Chelsea dan Leicester.
Daily Star melaporkan perpindahan itu menawarkannya talian hayat dalam kariernya selepas dilepaskan oleh pasukan Portugal, Maritimo pada penghujung tahun 2021.
Dia bermula dengan cemerlang apabila meraih anugerah pemain terbaik perlawanan sebanyak dua kali tetapi gagal menemui jaringan sepanjang 14 penampilan bersama kelab itu.
Pemain sayap itu juga tidak memperoleh masa permainan yang maksimum. Lima daripada penampilannya bermula dari bangku simpanan, manakala dia dikeluarkan pada separuh masa selepas membarisi kesebelasan utama dalam dua perlawanan.
Terbaru ketika Chonburi tewas 1-4 kepada Pathum United dalam perlawanan terakhir mereka musim ini, yang menyaksikan kelab itu menamatkan saingan liga di tempat ketujuh.
Sejak itu dia menulis di Instagram: “Terima kasih peminat atas sokongan anda musim ini. Anda sangat luar biasa.”
Dilahirkan di Los Angeles, dia mendapat pendidikan di England dan pada masa sama mengejar impiannya untuk menjadi pemain bola sepak.
Faiq pada mulanya menyertai akademi Southampton sebelum menjalani latihan bersama Reading dan percubaan di Arsenal.
Chelsea kemudian menyambarnya dengan kontrak selama dua tahun namun kemudian tidak dilanjutkan.
Dia kemudian menyertai Leicester pada 2016 tetapi dilepaskan empat tahun kemudian.
METRO