Percaturan Kim Swee ubah posisi Baddrol menjadi
GEORGETOWN: Percaturan ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengubah posisi Baddrol Bakhtiar sebagai penyerang utama dilihat menjadi antara faktor menyumbang kejayaan pasukan itu membenam Penang FC, 4-2 dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, malam tadi.
Perlawanan semalam menyaksikan kapten pasukan Sang Badak itu tidak berada di posisi kelaziman iaitu di bahagian jentera tengah atau sayap sebaliknya sebagai penyerang utama dibantu Amri Yahyah dan Taiki Kagayama di sebelah kanan dan kirinya.
Kim Swee mengakui keputusan yang diperoleh di luar jangkaan namun berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan anak buahnya biarpun berada dalam situasi keletihan selepas aksi Piala FA di Kota Kinabalu, Jumaat lalu.
“Kita tahu Baddrol pemain yang cukup berpengalaman dan beliau bermain dengan cukup baik di posisi berlainan yang mana kita bermain selama 120 minit tempoh hari dan ini memberi sedikit impak dari segi keletihan namun majoriti pemain menunjukkan tahap kecergasan memuaskan.
“Jika mengikut perancangan sudah tentu saya tidak menjangkakan sehingga empat gol tetapi pemain bangkit selepas Penang FC menyamakan kedudukan dan ini menunjukkan pemain berada pada tahap yang cukup baik terutamanya daripada segi mentaliti ataupun keyakinan mereka,” katanya selepas perlawanan.
Dalam aksi berkenaan, Baddrol meledak dua gol pada minit ke-22 dan 60 manakala dua lagi gol Sang Badak dijaringkan Jackson de Souza (m58) dan Stuart John (60).
Dua gol sagu hati Penang pula T Saravanan (m52) dan Hilal El-Helwe (m76).
Sementara itu, pengendali Penang FC, Manzoor Azwira Abd Wahid melihat terdapat peningkatan yang agak baik daripada aspek permainan dan kombinasi dalam percubaan mencipta peluang mencetak gol namun anak buahnya belum dapat menterjemahkannya dalam bentuk kemenangan bagi memberi lebih keyakinan kepada pasukan ketika ini.
“Saya nampak ada peningkatan sejak perlawanan dengan KL City dan ada gerakan-gerakan kombinasi di bahagian hadapan kita mencipta peluang cuma tidak berjaya menjaringkan gol kemudian dari segi pengalaman, pemain Sabah FC cukup berbeza dengan kematangan mereka menyebabkan Sabah tampak lebih baik dari pasukan Penang FC.
“Dapat dilihat situasi berbeza pada pasukan Sabah dengan peluang yang mereka cipta berjaya menghasilkan gol dan keadaan itu memberi tekanan kepada pasukan tetapi kita cuba menyamakan kedudukan pada masa kedua namun dalam masa terdekat itu Sabah berjaya mendapatkan dua gol yang sangat cepat dan dari situ kita rasa kita perlu memperbaiki pasukan untuk perlawanan akan datang,” katanya.
BHOnline