Rosol calon BERSATU Parlimen Hulu Terengganu

 

Timbalan Badan Pimpinan BERSATU negeri, Datuk Rosol Wahid dijangka kekal bertanding pertahankan kerusi parlimen Hulu Terengganu pada PRU15.

Pengerusi Badan Pimpinan BERSATU negeri, Senator Datuk Razali Idris, berkata nama Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu sudah diserahkan kepada Pengerusi parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dipertimbangkan.

Nama Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna juga dipersetujui pada perbincangan awal dengan pimpinan Perikatan Nasional (PN) negeri.

“Kita di peringkat pimpinan BERSATU negeri juga bersetuju menyenaraikan Rosol bertanding bagi mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Terengganu.

“Rosol antara ahli majlis tertinggi parti yang menunjukkan rekod cemerlang dalam melaksanakan tugas selain berintegriti, bebas daripada jenayah serta diterima rakyat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

MENANG ATAS TIKET BN TEWASKAN PAS

Pada PRU-14, Rosol yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) memang dengan majoriti 2,868 menewaskan calon PAS, Muhyiddin Abdul Rashid dan Razali.

Bagaimanapun, Rosol memutuskan keluar dari UMNO dan menyertai BERSATU pada 14 Disember 2018 dengan memberi alasan rakyat terutama pengundi di Parlimen Hulu Terengganu tidak menikmati pembangunan dan dipinggirkan selepas lebih enam bulan PRU-14 berlalu.

Isnin lalu, Razali yang juga Ketua BERSATU bahagian Marang mengumumkan PN negeri pada dasarnya bersetuju membenarkan BERSATU bertanding di dua kerusi Parlimen dan 10 Dewan Undangan Negeri (DUN) dikuasai BN pada PRU akan datang.

Pada PRU-14 lalu, BN menang 10 daripada 32 kerusi DUN iaitu Kuala Besut, Jertih, Hulu Besut, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Seberang Takir, Telemung, Bukit Besi dan Kijal.

Jika Rosol direstui pimpinan tertinggi PN seperti dicadangkan PN di peringkat negeri, pertandingan kerusi parlimen Hulu Terengganu dijangka menarik apabila dia bakal bertembung anak didiknya, Datuk Rozi Mamat yang diumumkan sebagai calon BN pertama oleh Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Said.

Razali berkata senarai calon kerusi parlimen yang akan diberi tanggungjawab bertanding akan diumumkan Muhyiddin apabila tiba masanya nanti.

“Dalam soal mengumumkan senarai calon terutama membabitkan di peringkat parlimen, kita tidak akan membelakangkan Muhyiddin, tetapi kita di peringkat negeri hanya menyenaraikan dan mencadangkan nama Rosol untuk bertanding mengekalkan kerusi parlimen Hulu Terengganu,” katanya sambil menambah 10 calon kerusi DUN ditandingi BERSATU juga sudah diserahkan kepada Muhyiddin.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button