Thailand masih jauh tinggalkan Malaysia

Hanoi: Dua perak yang diraih skuad sepak takraw negara setakat ini di Sukan Sea Vietnam jelas sekali membuktikan bahawa kita masih lagi ketinggalan di belakang Thailand, namun dalam masa tekong negara, Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican mengakui negara lain juga tidak boleh diketepikan terutama dalam acara berpasukan dan antara regu lelaki.

Menurutnya, hari demi hari negara lain seperti Indonesia, Filipina dan Vietnam semakin meningkat walaupun kesemuanya berjaya diketepikan Malaysia dalam perebutan pingat perak.

“Apa yang kita dapat tengok di sini ialah persaingan yang dipamerkan, di mana masing-masing cuba untuk membuktikkan ranking masing-masing di sini. Jadi kita tidak mahu leka dan cuba buat yang terbaik serta belajar dari kesilapan,” katanya.

Ujar pemain berusia 20 tahun itu, secara peribadi selepas berakhir saingan antara regu semalam, dia mengakui banyak lagi yang perlu dipelajari walaupun ini adalah penampilan keduanya di temasya dwi tahunan berkenaan.

“Di sini saya dapat melihat kemampuan pemain lawan. Saya masih muda dan banyak lagi perlu belajar dalam sukan ini. Hasrat saya sebenarnya ingin meraih sekurang-kurangnya satu emas di bumi Vietnam namun tidak ada rezeki,” katanya.

Sementara itu, skuad takraw lelaki negara meneruskan saingan di temasya ini dengan turun beraksi dalam acara beregu dan berjaya menumpaskan Indonesia 2-0 sebentar tadi di Gimnasium Hoang Mai.

Gandingan Aidil Azman Azwawi dan Noraizat Mohd Nordin tidak berdepan masalah untuk mengalahkan pasangan, Muhammad Hardiansyah Muliang-Saiful Rijal 21-19, 21-8.

Kemenangan berkenaan meletakkan pasangan negara di laluan cerah untuk mara ke separuh akhir dan sekurang-kurangnya membawa pulang gangsa.

Mereka dijangka tidak berdepan masalah untuk menumpaskan Kemboja esok sekali gus muncul juara Kumpulan E dan berdepan dengan naib juara Kumpulan D yang menampilkan Myanmar, Laos, Filipina dan tuan rumah Vietnam.

METRO

Leave a Reply