‘Tolonglah bantu kami’
Seremban: Waris kepada lelaki warga emas yang maut dalam kemalangan menyayat hati selepas dipercayai digilis lori pada 11 Mei lalu, merayu orang awam yang menjadi saksi kejadian itu supaya tampil memberikan maklumat.
Difahamkan, pemandu lori berkenaan mendakwa Tan Kian Ling, 80, dikatakan terlebih dulu terlanggar dengan sebuah motosikal beroda tiga sebelum bergesel dengan lori dan terjatuh di jalan raya.
Anak bongsu mangsa, Tan Poh Mae, 35, berkata, dia sekeluarga sudah menerima hakikat kehilangan bapanya namun tidak tenang selagi tidak mengetahui kisah sebenar kejadian di Jalan Persiaran Senawang 1 berhampiran lampu isyarat ke Jalan Seremban-Tampin, di sini, jam 12.30 tengah hari itu.
“Ada seorang lelaki menulis komen pada satu laman berita mengenai kejadian ini di Facebook mendakwa ada individu memberitahunya ternampak bapa terlebih dulu berlanggar dengan sebuah motosikal beroda tiga.
“Dalam laporan polis oleh pemandu lori juga menyebut bapa terlanggar dengan motosikal beroda tiga,” katanya ketika sidang media di kediamannya di Taman Merpati, di sini, hari ini.
Poh Mae berkata, dia cuba menghubungi individu yang meninggalkan komen berkenaan, namun pemilik akaun itu mendakwa tidak mengenali lelaki yang menceritakan perkara itu ketika berhenti di lokasi kejadian.
“Saya merayu supaya mana-mana individu yang ternampak kejadian atau mempunyai rakaman papan pemuka supaya tampil memberikan maklumat memandangkan lokasi kejadian tidak mempunyai kamera awam.
“Ramai orang komen mengatakan kejadian ini sangat menyayat hati, mengucapkan takziah kerana simpati, namun tiada yang tampil untuk cuba membantu menjadi saksi untuk menceritakan perkara sebenar.
“Jika ada saksi mata atau rakaman kejadian, saya merayu supaya laporkan kepada polis atau hubungi abang ipar, Liew Foot Heng, 48, di talian 0187621128,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin berkata, pihak keluarga mahu mengetahui fakta sebenar kejadian berkenaan kerana pihak keluarga masih lagi berteka-teki bagaimana warga emas itu boleh terjatuh sedangkan dia seorang yang sihat dan berpengalaman sebagai pemandu lori.
Harian Metro pada 11 Mei lalu melaporkan lelaki warga emas maut selepas digilis lori kira-kira sejauh 10 meter dipercayai cuba memotong di sebelah kiri lori namun bergesel dan terjatuh.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof dilaporkan berkata, mangsa tersepit di bawah tayar lori berkenaan sebelum dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Senawang.
METRO