4 dekad jadi Muthu

New Delhi: Selepas kematian suami, seorang wanita di India nekad menyamar sebagai lelaki bagi membesarkan anak perempuannya.

Dia melakukan penyamaran itu selama 39 tahun iaitu hampir empat dekad.

Oddity Central melaporkan, perkahwinan S Petchiammal hanya bertahan selama 15 tahun, sebelum wanita itu menjadi ibu tunggal selepas suaminya meninggal dunia secara mengejut akibat serangan jantung.

Petchiammal berusia 20 tahun ketika itu dan sedang hamil anak perempuannya.

Demi kelangsungan hidup, Petchiammal melakukan pelbagai pekerjaan selepas melahirkan cahaya mata, namun kehidupannya sebagai ibu tunggal di kampung di Katunayakkanpatti di Tamil Nadu, tidak mudah kerana didominasi lelaki.

Mana tidaknya, Petchiammal bekerja di tapak binaan, hotel dan kedai teh, namun berdepan gangguan dan ancaman seksual setiap hari, hingga dia nekad melakukan perubahan besar dalam hidupnya dengan ‘hidup’ sebagai lelaki.

Pada satu hari, Petchiammal pergi ke sebuah kuil di Tiruchendur, memotong pendek rambutnya, menggantikan sari dengan baju dan kain lungi kemudian menukar namanya kepada ‘Muthu’.

Oleh kerana identiti baharunya itu, Petchiammal dan anaknya perlu berpindah ke satu tempat bagi memulakan hidup baharu.

“Kami menetap semula di Kattunayakkanpatti lebih 20 tahun lalu. Hanya saudara terdekat saya di rumah dan anak perempuan tahu bahawa saya seorang wanita.

“Saya melakukan semua jenis pekerjaan, daripada bekerja sebagai pelukis, pembuat teh dan penebar roti prata.

“Saya menyimpan setiap sen untuk memastikan kehidupan yang selamat dan terjamin untuk anak perempuan saya,” katanya kepada The New Indian Express.

Petchiammal mengekalkan penampilan selama lebih tiga dekad dan selepas anak perempuannya Shanmugasundari sudah dewasa dan berkahwin, dia tidak perlu berselindung lagi.

Dia mendedahkan identiti sebenarnya, baru-baru ini, dan menerima pujian daripada jutaan penduduk di India.

Meskipun begitu, Petchiammal enggan kembali ke kehidupan lamanya sebaliknya mahu kekal sebagai ‘Muthu’ sehingga akhir hayatnya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker