5 mayat PATI ditemui dalam kereta api di Mexico

BANDAR MEXICO: Mayat lima pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dipercayai mati akibat dehidrasi dan strok haba ditemui di dalam gerabak kereta api di utara Mexico berhampiran sempadan Amerika Syarikat (AS).

Menurut Institut Kebangsaan Migran (INM), mangsa adalah tiga warga Honduras, seorang warga Mexico dan satu lagi yang tidak dapat dikenal pasti.

Pihak berkuasa daerah Coahuila berkata mangsa dipercayai menaiki kereta api yang tiba dari AS dan menuju ke pusat bandar Mexico, ke arah yang salah.

Anggota keselamatan kereta api menjumpai mayat itu selepas melihat kaki terkeluar dari gerabak kereta api yang sedang bergerak berhampiran bandar Piedras Negras.



Kemungkinan punca kematian termasuk ‘dehidrasi yang teruk dan diburukkan lagi oleh strok haba’.

Setiap tahun, ribuan PATI yang tidak mempunyai dokumen cuba menyusup masuk ke AS melalui Mexico, kebanyakannya dari Amerika Tengah, bagi melarikan diri daripada kemiskinan dan keganasan.

Mereka mempertaruhkan nyawa sepanjang perjalanan yang jauh lagi berbahaya menaiki bas, lori dan kereta api kargo, malah ada juga yang berjalan kaki.

Kerajaan Mexico berkata, bulan ini pihaknya akan meningkatkan kawalan di sepanjang sempadan selatan kerana mungkin menghadapi gelombang baharu PATI menuju ke AS.



Kedua-dua negara bersiap sedia dan menjangkakan kenaikan dalam ketibaan sekiranya Washington menamatkan peraturan era-pandemik dikenali sebagai ‘Title 42’ yang digunakan untuk mengusir PATI atas alasan kesihatan.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker