Ada Masalah Kewangan, Pelajar Gantung Diri Selepas Di Halau
Hanya kerana dikatakan mempunyai masalah kewangan dan keluarga sebelum dikenakan hukuman buang sekolah oleh seorang guru, remaja perempuan berusia 14 tahun di wilayah Songkhla, selatan Thailand nekad untuk gantung diri.
Menerusi laporan TheThaiger, remaja yang dikenali sebagai Bonus pelajar gred 9 di Sekolah Satri Phatthalung di wilayah Pattalung dipercayai menggantung dirinya di sebuah rumah pada 13 Mei yang lalu berikutan masalah yang dihadapinya. Rakan-rakan kepada mangsa mendakwa salah seorang guru memberi tekanan kepada pelajar berkenaan dan memaksanya meninggalkan sekolah.
Dakwa mereka lagi, guru berkenaan dikatakan tidak memahami ketidakhadirannya sebelum meminta dia meninggalkan sekolah berikutan membawa masalah. Bercerita lebih lanjut, timbul juga dakwaan yang mengatakan Bonus sering kali bergaduh dengan ibunya berikutan tidak mempunyai wang untuk belajar.
Difahamkan, Bonus tinggal bersama ibunya di Songkhla dan dia tidak dapat pergi ke sekolah pada semester pertama pada 9 Mei yang lalu berikutan tiada siapa yang boleh membawanya ke terminal bas.
SERING BERGADUH DENGAN IBU
Pihak polis bagaimanapun, memeriksa mesej antara Bonus dan rakan-rakannya yang lain dan mangsa sempat menjelaskan dia mahu membunuh diri berikutan dihalau dari sekolah. Dalam pada itu, gadis ini juga sempat meminta rakannya untuk menceritakan perkara sebenar selepas dia meninggal dunia.
Bagaimanapun, Pengarah Sekolah Satri Phatthalung, Malee Kaewlaiad, mendakwa insiden tersebut berlaku kerana salah faham dan masalah komunikasi antara mereka berdua dan guru berkenaan sama sekali tidak berniat untuk mengecewakan pelajar itu serta cuba membantu Bonus dalam pelbagai aspek.
Dalam pada itu, satu jawatankuasa turut ditubuhkan bagi menyiasat perkara ini dan mengelak daripada berulang pada masa akan datang.
thethaiger.com