Akaun sosial penjawat politik, agensi Singapura diganggu

SINGAPURA: Akaun media sosial beberapa pemegang jawatan politik dan agensi kerajaan Singapura mengalami gangguan ‘spam’ yang dikirimkan penyokong pendakwah Abdul Somand Batubara.

Difahamkan, perbuatan membalas dendam itu dilakukan penyokong pendakwah itu yang dilarang masuk ke Singapura oleh pihak berkuasa Isnin lalu.

Menjawab pertanyaan media, jurucakap Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) dalam satu kenyataan semalam mengesahkan gangguan itu.



MCI turut memaklumkan terdapat juga gesaan dalam kalangan beberapa kumpulan sembang awam Indonesia supaya melancarkan serangan siber ke atas akaun media sosial pemerintah Singapura.

Spam merujuk kepada perbuatan mengirim mesej kepada jumlah penerima yang banyak atau mengirimkan mesej yang sama berulang kali untuk tujuan mengganggu penerima.

“Selain itu, laman dua syarikat pengurusan acara dirosakkan. Laman sesawang itu dipulihkan dan SingCERT akan menghubungi syarikat itu untuk menghulurkan bantuan kami,” kata jurucakap MCI



Tambah beliau, pertubuhan dinasihatkan mengambil langkah aktif untuk mengukuhkan keselamatan siber mereka, meningkatkan kewaspadaan dan memperkukuh pertahanan dalam talian.

Mereka dinasihatkan melindungi pertubuhan masing-masing daripada kemungkinan serangan siber, seperti kerosakan laman sesawang dan tindakan serangan komputer bertubi (DDoS) hingga menafikan perkhidmatan yang disediakan.

“Pertubuhan Singapura yang terjejas oleh serangan siber atau mempunyai bukti sebarang kegiatan yang mencurigakan pada rangkaian mereka harus membuat laporan kepada SingCERT.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) mengesahkan seorang pendakwah Indonesia, Abdul Somad Batubara, tidak dibenarkan masuk ke Singapura dan dihantar balik ke Batam pada hari sama beliau tiba di sini Isnin lalu.



MHA mengatakan langkah itu diambil kerana beliau didapati mengajar ajaran ‘ekstremis dan pengasingan’.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bagi menjawab pertanyaan media, MHA berkata setiba Abdul Somad di Terminal Feri Tanah Merah Singapura dari Batam, beliau ditemu bual.

Berikutan temu bual itu, beliau bersama enam teman perjalanannya tidak dibenarkan masuk ke Singapura dan dihantar pulang ke Batam dalam sebuah feri pada hari sama.

“Somad diketahui menyebarkan ajaran ekstremis dan pengasingan, yang tidak boleh diterima dalam masyarakat berbilang kaum dan agama Singapura.



“Sebagai contoh, Somad berdakwah bahawa pengeboman nekad dibolehkan dalam konteks konflik Israel-Palestin, dan dianggap sebagai operasi ‘syahid’.

Kementerian itu menambah bahawa kemasukan pelawat ke Singapura bukan sesuatu yang automatik atau adalah satu hak dan setiap kes dinilai berdasarkan merit tersendiri.

“Walaupun Somad cuba memasuki Singapura bagi lawatan sosial, pemerintah Singapura memandang serius sebarang orang yang menyokong keganasan dan/atau menyokong ajaran ekstremis dan pengasingan.

Terdahulu, pendakwah terbabit menyatakan dalam akaun media sosialnya bahawa beliau dihantar pulang oleh Imigresen Singapura ketika pergi bercuti bersama keluarga dan rakan-rakannya Isnin lalu.



AGENSI

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button