‘Bertemankan’ dengan air hujan

Puchong: Setiap kali hujan, rumah pusaka tempat ibu tunggal sembilan anak berteduh akan bertakung dengan air sehinggakan mereka sekeluarga tidak lena tidur.

Lebih membahayakan, rumah pusaka tinggalan mentua wanita ini hanya tunggu masa menyembah bumi kerana struktur kayunya semakin usang dan mereput akibat dimakan anai-anai.

Halimahtun Sadiah Abdul Karim, 46, berkata, dia dan suami menetap di rumah berkenaan sejak mereka mendirikan rumah tangga lebih 20 tahun lalu.

“Rumah ini pernah dibaiki ketika anak sulung saya berusia setahun lebih dan sejak itu kami tinggal dalam keadaan seadanya kerana hendak membaikinya memerlukan duit.

“Pendapatan arwah suami sebagai pemandu van sekolah dulu cukup-cukup makan untuk tampung perbelanjaan keperluan kami dan anak-anak. Jadi setiap kali hujan memang bahagian ruang tamu dan bilik akan basah kerana dinding dan lantai sudah retak selain atap bocor.

“Lebih membimbangkan, struktur berkayu terutama bahagian bilik dan dapur semakin mereput dimakan anai-anai yang bila-bila masa akan jatuh menimpa kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.

Menurutnya, mereka sekeluarga tiada pilihan terpaksa tinggal di rumah terbabit kerana tidak berkemampuan untuk menyewa di tempat lain.

“Kalau hendak menyewa rumah lain di luar mahal lagipun sayang kerana ini rumah pusaka. Jadi buat masa ini mahu tak mahu hanya rumah ini saja tempat kami berteduh walaupun kadangkala memang kami tidak selesa terutama apabila hujan,” katanya.

Katanya, pada usianya yang semakin lanjut selain kekangan menguruskan anak bersekolah dan masih kecil menyukarkan pencarian kerja kerana tiada majikan mahu menerimanya.

“Memang berat juga ujian saya kerana suami baru sahaja setahun meninggal dunia akibat radang paru-paru, tetapi insya-Allah saya akan kuat demi anak-anak.

“Cuma saya masih tak tahu hendak buat apa kerana susah orang hendak terima umur macam saya ini bekerja tambahan lagi saya perlu menguruskan anak sekolah dan masih kecil termasuk seorang yang mengalami masalah pembelajaran.

“Mujur juga saya menerima bantuan bulanan sebanyak RM650 daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) jadi dengan duit itulah saya gunakan untuk menyara kami sekeluarga selain sedikit sumbangan orang,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang kepada keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Affin Islamic Bank 105280004378 atas nama Media Prima-NSTP Humanitarian Fund (Metro Prihatin) atau cek kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad di Balai Berita.

Tabung Metro Prihatin diwujudkan bagi membantu orang ramai menghulurkan sumbangan kepada golongan memerlukan selepas kisah mereka disiarkan akhbar Harian Metro.

METRO

Leave a Reply