Pemansuhan AP langkah elak kenaikan harga

KUALA LUMPUR: Harga barang tetap akan naik untuk tempoh tiga hingga empat bulan lagi walaupun kerajaan mengumumkan langkah berani memansuhkan keperluan permit import (AP) bagi bahan makanan secara serta-merta.

Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Datuk Ameer Ali Mydin, berkata ini kerana peningkatan harga barang terkesan akibat situasi semasa dunia termasuk kesan perang Russia-Ukraine dan langkah beberapa negara tidak membenarkan eksport barang ke luar negara.

Katanya, langkah beberapa negara tidak membenarkan pengeksportan bahan makanan adalah aliran dunia dalam usaha mereka mengekalkan bekalan dalam negara.

“Saya mengalu-alukan langkah berani kerajaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dengan menamatkan AP, namun kenaikan harga barang tetap akan berlaku.

“Saya melihat langkah ini kesannya dirasai untuk jangka panjang bukan jangka pendek, maka kenaikan harga barang ini akan berlaku tiga hingga empat bulan dan harga dijangka stabil selepas tempoh itu,” katanya kepada BH.

Beliau mengulas langkah kerajaan memansuhkan keperluan AP terhadap bahan makanan berkuat kuasa serta-merta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengumumkan perkara itu berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Kabinet bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi.

Dengan pemansuhan keperluan berkenaan, sesiapa sahaja boleh mengimport makanan ke negara ini sebagai antara usaha menangani isu keselamatan makanan.

Ameer berkata, kenaikan harga bukan hanya disebabkan bekalan berkurangan tetapi tindakan pengguna membuat pembelian panik.

Katanya, beliau menggesa pengguna tidak membuat pembelian panik yang akan menyebabkan bekalan berkurangan sehingga melonjakkan harga barang.

“Saya harap kerajaan dapat atasi masalah pembelian panik dan penyimpanan stok kerana ini akan mewujudkan suasana yang tidak harmoni untuk perniagaan,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya peniaga di negara ini adalah dalam kalangan usahawan yang kreatif mencari sumber bekalan barang.

Katanya, beliau percaya dengan pemansuhan itu, tiada masalah bagi mendapatkan bekalan barang makanan.

Namun, katanya, usaha usahawan akan sia-sia jika agensi kerajaan yang memberikan pengiktirafan dan pensijilan halal dan keselamatan makanan gagal membantu usaha ini.

“Seperti pengimportan ayam, kita boleh dapatkan harga ayam lebih murah dari Brazil, namun isu sijil halal yang tidak mendapat pengiktirafan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), membantutkan usaha ini, sedangkan Arab Saudi mengiktiraf sijil halal dari negara itu,” katanya.

BHOnline

Leave a Reply