Penalti Bergson penyelamat maruah JDT

Iskandar Puteri: Bergson Da Silva menjadi penyelamat maruah Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas jaringan menerusi sepakan penalti memastikan mereka seri 2-2 dengan Sri Pahang FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.

Keputusan seri itu menyaksikan JDT kekal di tangga teratas liga dengan 16 mata dan diikuti rapat Sabah FC serta Negeri Sembilan FC yang ketinggalan satu mata.

Pada aksi tunggal sebelum liga berehat selama sebulan bagi memberi laluan kepada pusingan kelayakan Piala Asia 2023 apabila Malaysia menjadi tuan rumah bagi Kumpulan E, bulan depan, barisan pemain JDT tampak menguasai permainan sebaik wisel permulaan ditiup.

Seawal minit ketiga, tuan rumah melakukan percubaan berbahaya menerusi sepakan deras Nazmi Faiz Mansor dari jarak 25 meter sebelum penjaga gol Sri Pahng, Mamadou Samassa sempat menepis bola keluar.



Pada minit ke-17, Bergson yang menerima umpanan Fernando Forestieri menyusup masuk ke dalam kotak penalti dan merembat kencang ke penjuru kiri gawang dan menewaskan Samassa.

Bagaimanapun, Sri Pahang menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-37 apabila Mahmoud Saleem Za’tara mengumpan bola kepada pemain gantian, Mohd Saiful Jamaluddin yang merembat leret menewaskan penjaga gol JDT, Farizal Marlias.

Ketika aksi berbaki empat minit sebelum babak pertama berakhir, tindakan Shahrul Saad mengasari Mahmoud Saleem di dalam kotak penalti membawa padah apabila pengadil Ahmad Zuhaidi Dzulkifli tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti dan Manuel Hildalgo mudah menewaskan Farizal untuk meletak pelawat mendahului 2-1.

Bersambung babak kedua, skuad kendalian Benjamin Mora yang ketinggalan menggandakan asakan bagi memburu gol penyamaan.



Kesilapan pemain Sri Pahang FC yang menjatuhkan Bergson di dalam kotak penalti pada minit ke-86 membawa padah selepas Ahmad Zuhaidi menghadiahkan sepakan penalti dan pemain import dari Brazil itu menyempurnakan sepakan untuk menyamakan jaringan 2-2.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker