Ringgit dijangka terus susut dalam tempoh terdekat

KUALA LUMPUR: Penyusutan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang ketika ini berlegar pada paras RM4.40 sedolar dijangka berterusan dalam tempoh terdekat berikutan pengukuhan dolar disokong kenaikan kadar faedah negara itu untuk mengekang inflasi, kata penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed, berkata dolar AS yang mengukuh dalam tempoh 37 hari lalu menjadi perhatian global memandangkan pelabur beralih kepada mata wang utama dunia itu sebagai lindung nilai.

Beliau berkata, pengukuhan dolar AS adalah sebahagian langkah taktikal Rizab Persekutuan (Fed) untuk mengekang inflasi yang meningkat tinggi di ekonomi utama dunia itu.

Beliau melihat bahawa dolar AS akan kekal kukuh dalam tempoh dua bulan sebelum merosot selepas itu, sekali gus akan memberi sokongan kepada ringgit untuk mengukuh semula pada separuh kedua 2022.

“Kami di IQI Global melihat tinjauan ringgit akan stabil dan mata wang itu akan melonjak semula menjelang suku ketiga 2022 dengan nilai wajar antara RM4.10 dan RM4.20 sedolar pada suku akhir tahun ini,” katanya kepada BH

Ringgit hari ini terus susut dengan dagangan mata wang tempatan itu dibuka rendah pada paras RM4.40 berbanding dolar AS, terendah sejak Mac 2020.

Ia berikutan pendirian tegas Fed untuk mengetatkan dasar monetari negara maju itu.

Shan berkata, ringgit bukan satu-satunya mata wang yang lemah berbanding dolar AS, sebaliknya kebanyakan mata wang utama lain turut melemah.

Beliau berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) telah melakukan yang terbaik untuk mengekalkan kestabilan ringgit meskipun kerapuhan ekonomi global, ketidaktentuan dalam pasaran ekuiti dan bon serta risiko hutang berdaulat yang dihadapi kebanyakan negara.

“Malaysia mengekalkan kestabilan makroekonomi meskipun kemeruapan ringgit dalam pasaran dalam tempoh tujuh bulan lalu. Harga komoditi tinggi dan angka perdagangan kukuh akan terus memanfaatkan ekonomi dalam jangka pendek.

“Harga minyak yang kukuh akan menyokong bahagian fiskal lembaran imbangan kerajaan,” katanya.

AmBank Research dalam nota penyelidikannya pula menjangkakan ringgit didagangkan pada paras sokongan antara RM4.37 dan RM4.40.

Bagi paras rintangan pula, ia menjangkakan mata wang tempatan akan berlegar pada paras RM4.41 dan RM4.43 berbanding dolar AS.

Sementara itu, Kenanga Research dalam nota penyelidikannya menjangkakan ringgit akan pulih daripada penyusutannya berbanding dolar AS di tengah-tengah potensi pemulihan minat risiko.

Ia menjangkakan mata wang tempatan akan terus berdepan kemeruapan yang tinggi dan diniagakan antara RM4.37 hingga RM4.13 berbanding dolar AS dalam tempoh terdekat.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker