Tidak pernah penat ajar mualaf baca al-Quran

Kota Bharu: Demi membantu saudara baru mendalami al-Quran, seorang wanita tidak kenal erti penat bagi memimpin golongan mualaf untuk belajar membaca serta memahami kalam suci berkenaan sejak lebih 20 tahun lalu.

Wan Zubaidah Wan Yusoff, 53, berkongsi kisahnya menjadi guru al-Quran mualaf yang nyata memerlukan ketabahan dan kesabaran yang tinggi demi memastikan setiap ilmu diajar dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian pelajarnya.

Katanya, pelajar di bawah bimbingannya terdiri daripada pelbagai umur dan bangsa seperti Cina dan India selain warga asing daripada Thailand, Laos, Filipina dan Kemboja.

“Banyak pengalaman pahit manis dilalui sepanjang menjadi tenaga pengajar untuk mualaf, tetapi yang menjadi penguat semangat untuk saya terus berbakti apabila melihat mualaf bimbingan saya yang kini boleh membaca kalam suci ini dengan lancar.

“Dalam membantu mualaf belajar al-Quran, saya sendiri perlu bersabar dan sentiasa sematkan di minda bahawa mereka ‘orang baru’ yang perlu dibimbing sebaiknya.

“Keputusan mereka untuk belajar al-Quran wajar dipuji kerana ia menjadi panduan utama seorang Muslim. Saya akan pastikan pelajar dapat mengenal huruf, menyebut huruf serta membacanya dengan betul bermula dengan ‘Alif, Ba, Ta’ dan seterusnya,” katanya ketika ditemui di Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM)

Kelantan, di sini, hari ini.

Wan Zubaidah yang juga Pegawai Dakwah PERKIM Kelantan berkata, selain mengajar al-Quran, dia turut membantu mualaf mendalami fardu ain dan fardu kifayah agar mereka dapat menjalani kehidupan sebagai orang Islam dengan baik.

“Memandangkan mualaf terdiri daripada pelbagai bangsa, jadi ada antara mereka mempunyai loghat yang sangat ‘pekat’ yang agak menyukarkan mereka menyebut ayat al-Quran.

“Bagi warga asing, saya terpaksa mencari inisiatif sendiri yang paling mudah untuk mereka cepat mengenal huruf, contohnya, dengan meminta mereka mengeja sebutan huruf menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri dengan memastikan bunyi yang sama,” katanya.

Menurutnya, dia akan terus membantu mualaf untuk belajar mengaji selagi nyawa dikandung badan selain berniat untuk mencari saham akhirat dengan turut sama membaca kalam suci berkenaan sambil mengajar.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker