Usaha angkat bahasa Melayu ke persada dunia

KUALA LUMPUR: Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu bermatlamat menyediakan input bagi membantu kerajaan menyediakan satu gerak kerja dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Pada masa sama, penganjuran acara ini sebagai tanda sokongan dan menyambut gagasan penting dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mencadangkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan, berkata melalui input yang dibentangkan hampir 70 sarjana tempatan, ASEAN dan antarabangsa itu, ia diharap dapat membantu kerajaan mengambil tindakan susulan bagi menjadikan hasrat Perdana Menteri itu satu realiti.

“Saya kira ia (simposium) penting kerana kita menghimpunkan hampir 70 sarjana termasuk 14 orang mewakili antarabangsa, 16 orang di peringkat ASEAN dan hampir 40 lagi pembentang di peringkat kebangsaan.

“Paduan tenaga tersohor dalam bidang bahasa, sastera dan budaya ini, saya kira input sangat penting untuk kerajaan membuat susulan terhadap gagasan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu, Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Awang berkata, selain membawakan 15 sesi pembentangan kertas kerja, simposium itu turut mengadakan sidang meja bulat khas pada Isnin depan bagi membincangkan secara tuntas pelbagai isu khususnya cadangan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN.

Katanya, sidang meja bulat itu bermatlamat merangka pelan tindakan daripada segi ilmiah dan diplomasi bersama negara ASEAN lain.

“Saya kira melalui meja perundingan ini, hal (berkaitan pertikaian mengangkat bahasa Melayu di peringkat ASEAN) dapat diatasi.

“Kita tidak boleh layan sentimen di semua peringkat, yang penting (ketika ini), Presiden Indonesia, menyokong gagasan berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Awang yang juga Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) percaya kesepakatan untuk mengangkat bahasa Melayu di peringkat ASEAN dapat diselesaikan melalui perbincangan secara ‘adik beradik’ khususnya dengan Indonesia.

“Daripada pengalaman lalu, pada tahun 2000, DBP menggerakkan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu, melaluinya terbentuk kesepakatan dengan pihak Indonesia dan Brunei Darussalam iaitu dengan mengangkat istilah bahasa Melayu/Indonesia.

“Ini satu kompromi yang saya kira dapat mengatasi masalah, dikatakan perebutan… jadi tidak akan hilang nama bahasa Melayu dan nama bahasa Indonesia,” katanya yang melihat Malaysia dan negara ASEAN memerlukan tempoh untuk perundingan secara ilmiah bagi mengatasi masalah berkenaan.

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, sepanjang simposium berkenaan berlangsung sehingga Selasa depan, pihaknya turut mengadakan pelbagai aktiviti sampingan, antaranya forum yang mengupas isu bahasa, pameran mengangkat perjuangan memartabatkan bahasa Melayu dan sayembara puisi.

Simposium anjuran bersama Pejabat Perdana Menteri dengan kerjasama DBP dan Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM itu akan dirasmikan Perdana Menteri, Ahad ini.

Ia berlangsung selama tiga hari sehingga 24 Mei depan dan menghimpunkan tokoh tempatan serta luar negara dengan penyertaan lebih 15 negara termasuk Korea Selatan, Kampuchea, Indonesia, Australia, Brunei Darusssalam, Singapura, Amerika Syarikat, China, Thailand, Belanda, Azerbaijan, Russia, Uzbekistan, Filipina dan Perancis.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker