Berhenti kerja demi hasilkan fucuk dan tauhu

JERANTUT: Kesukaran mendapatkan fucuk dan tauhu diusahakan syarikat Bumiputera yang tidak diragui status kebersihannya mendorong sepasang suami isteri berhenti kerja dan menjalankan perusahaan menghasilkan produk itu sejak empat tahun lalu.

Mohd Shamsul Dzuhal, 44, yang memiliki Diploma Pengajian Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) meninggalkan kerjaya sebagai pengurus pasar raya, manakala isterinya, Norlina Abdullah, 39, yang juga pemegang Diploma Perakaunan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berhenti kerja dari sebuah bank.

“Ia bermula ketika saya menjadi pengurus di sebuah pasar raya dan mendapati agak sukar untuk mendapatkan fucuk dan tauhu yang diusahakan oleh Bumiputera.

“Justeru saya mengambil keputusan mengikuti kursus hasilan soya di Sri Kembangan, Selangor.

“Selepas habis kursus saya mengusahakannya secara kecil-kecilan di rumah setiap hujung minggu dan ternyata mendapat sambutan sangat menggalakkan dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya.

Mohd Shamsul berkata, fucuk biasanya menjadi ramuan utama dalam penyediaan sup sayur atau boleh juga dimasak lemak, ditumis air atau pelbagai lagi resipi yang menyelerakan.

Setelah yakin dengan perusahaan yang mereka ceburi, pasangan suami isteri itu mengambil keputusan berhenti kerja bagi memberi tumpuan sepenuh masa untuk mengusahakan produk berasaskan kacang soya itu.

Katanya, mereka membina bengkel di belakang rumah di Taman Paya Gunung Jaya dan berkat kesabaran fucuk dan tauhu mereka berjaya menembusi pasaran Jerantut dengan mereka satu-satunya pembekal fucuk dan tauhu Bumiputera.

Proses pembuatan fucuk memerlukan kesabaran kerana mengambil masa sehingga sehari suntuk untuk disiapkan bermula daripada proses merendam kacang soya sehingga diangkat dan dijemur.

Mohd Shamsul berkata, proses pembuatan bermula dengan kacang soya direndam semalaman sebelum dimesin sehingga hancur dan kemudian diperah untuk mendapatkan patinya.

“Pati itu kemudian dimasak sehingga mendidih sebelum muncul lapisan yang dipanggil ‘kepala’ iaitu lapisan kuning soya itu yang diangkat dan disidai secara berhati-hati.

“Kepala ini akan muncul setiap 12 hingga 15 minit sehingga rebusan soya kering sepenuhnya,” katanya.

Mohd Shamsul berkata dia bertuah kerana mendapat bantuan mesin dari RISDA, FAMA selain bantuan kewangan daripada MARA.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker